Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 27, 2018

JAGALAH POHON UMNO INI SELAMANYA - SURAYA






Kuala Lumpur – Sesuatu yang tidak boleh dinafikan, UMNO lahir atas perjuangan anak bangsa memerdekakan tanah air dan seterusnya diberi peluang selama enam dekad menerajui negara ini, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob.

Justeru Suraya menimbulkan persoalan adakah disebabkan atas ketentuan takdir dariNya parti ‘direhatkan’ menguasai kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu menjadi penyebab untuk beralih arah sokongan.

“Apakah kerana hilang kuasa dan nikmat itu maka kita perlu lari lintang-pukang meninggalkan perjuangan parti yang menyatukan anak bangsa ini?

“Kita masih punya roh dan semangat untuk meneruskan perjuangan ini. Biarlah daun kering nak gugur, gugurlah. Ranting rapuh dan buruk hendak patah, biarlah. Namun yang penting, pohon UMNO ini perlu kita jaga dan bajai supaya kembali subur serta mampu memayungi anak bangsa untuk 1,000 tahun lagi…!

“Kita tidak perlu malu untuk terus berjuang. Biar dilanda taufan, namun UMNO menguasai 54 kerusi dan Barisan Nasional (BN) keseluruhannya membawa suara rakyat dari 78 parlimen di Dewan Rakyat. Hakikatnya tidak ada majoriti dua pertiga di Parlimen, namun BN secara kolektifnya masih teguh di hati rakyat,” ujarnya, dipetik dari laman sosial facebooknya.

Berhubung dengan mesyuarat parti di peringkat Cawangan yang telah bermula sejak minggu lalu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang itu turut mengharapkan agar persidangan tahunan tersebut dapat dijayakan dengan sebaiknya, penuh dengan tertib dan paling penting pengisiannya mampu membangkitkan semangat kepada setiap jiwa anggota parti.

“Fasal Tiga Perlembagaan UMNO juga perlu diberi perhatian penuh. Semoga kita semua terus beristiqamah, meningkatkan jati diri perjuangan yang tulen bagi memastikan kelangsungan nasib dan masa depan anak bangsa terus terbela, tidak terus terjajah dengan penjajahan alaf baru.

“Ayuh kita terus berjuang demi agama, bangsa dan negara! Selamat bersidang pejuang-pejuang anak bangsa,” katanya.


0 comments:

share2