Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 3, 2018

[INDERA MAHKOTA] SUHAIMI MAHU BELA KEBAJIKAN NELAYAN



Suhaimi Sulong



Isu nelayan di kawasan Pantai Balok yang berlarutan selama 10 tahun tanpa sebarang perubahan menjadi salah satu tumpuan calon BN Dun Beserah, Dato' Suhaimi Sulong.

Suhaimi berkata, perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terjaga.

Menurutnya, bantuan kerajaan kepada golongan nelayan selama ini cukup baik tetapi perlu ditambah pada masa akan datang untuk memastikan mereka selesa.

"Tumpuan utama ialah mengatasi masalah kekurangan sumber tangkapan ikan dengan menambah jumlah tukun supaya hasil tangkapan bertambah.

"Selain itu, saya juga dimaklumkan kawasan kemasukan bot nelayan yang cetek akan diperdalamkan bagi memberi kemudahan kepada mereka melakukan aktiviti perikanan sekiranya rakyat memberi peluang dan kepercayaan kepada parti BN," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Nelayan di Pasar Nelayan Balok.

Turut hadir, Pengerusi Nelayan Kampung Balok, Raja Haris Raja Salim dan Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Balok dan Persatuan Nelayan Negeri, Tengku Adnan Tengku Husin.

Suhaimi berkata, nelayan di sekitar kawasan Balok akan terus diberi perhatian termasuk keluarga terutama memastikan peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) kepada anak-anak mereka.

"Saya juga melihat isu penempatan nelayan penting dalam usaha memberi keselesaaan dan kesejahteraan kepada golongan berkenaan supaya tiada yang tercicir mendapat manfaat disediakan kerajaan,"katanya.

Sementara itu, Raja Haris berkata, pihaknya mengharapkan perubahan yang memberi manfaat kepada golongan tersebut di kawasan itu.

"Kita berharap berlaku perubahan yang boleh menjamin kebajikan golongan nelayan di kawasan ini yang selama ini tidak dipedulikan oleh pihak pembangkang di sini," katanya.


0 comments:

share2