Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 17, 2018

NAJIB NASIHAT AHLI PARLIMEN BN SETIA KEPADA PARTI



Najib nasihat ahli parlimen BN setia kepada parti




Putrajaya – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mahu semua anggota komponen parti Barisan Nasional (BN) dan ahli-ahli Parlimen BN kekal semangat kebersamaan dan setia kepada parti.

Amanat itu disampaikan beliau dalam pertemuan khas bersama anggota Parlimen BN di Seri Perdana di sini yang berlangsung kira-kira setengah jam bermula 9 pagi semalam.

Beberapa ahli parlimen BN yang keluar dari perkarangan Seri Perdana kelihatan ceria sambil menurunkan tingkap kenderaan masing-masing untuk melambai tangan kepada para media yang berkumpul di luar Seri Perdana sejak 8 pagi.

Penyandang kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika ditemui berkata, Najib mengucapkan terima kasih kepada semua anggota Parlimen atas perkhidmatan mereka sepanjang penggal ini.

“Beliau (Najib) mengucapkan terima kasih kepada kami ahli parlimen kerana telah membuat tugas dengan baik…ini pendekatan baharu yang dibuat Najib (dalam pertemuan tersebut).”

“Beliau juga menasihatkan kami pada pilihan raya nanti, akan ada nama yang naik, ada yang turun. Ada yang dicalonkan, ada yang tidak dicalonkan tetapi kita mesti tetap bersama-sama BN,” kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.

Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri ShahidAan Kassim yang juga penyandang kerusi Parlimen Arau berkata, pertemuan hari ini dianggap istimewa kerana Najib menyampaikan ucapan yang menyentuh hati mengenai setiakawan dan kesetiaan kepada pemimpin.

“Dalam pertemuan itu juga perdana menteri mengingatkan kami sebagai ahli parlimen untuk bersama-sama sebagai satu keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng yang juga Setiausaha Agung Gerakan berkata, pertemuan tersebut telah berlangsung dengan baik.

“Kami menerima beberapa amanat daripada perdana menteri yang meminta kami untuk bersiap sedia (menghadapi pilihan raya umum),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan berkata, Najib juga menasihatkan anggota Parlimen untuk mengekalkan semangat kepada perjuangan BN sama ada dicalonkan pada PRU nanti atau tidak.

“Kita semua gembira dengan pertemuan ini, yang melambangkan kesepaduan dalam BN. Semua rasa puas hati dengan cara perdana menteri dan akan teruskan dengan semangat BN,” katanya.


0 comments:

share2