Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 19, 2018

ANTARA CADANGAN NAIK TARAF PASAR BESAR KUANTAN



Antara cadangan naik taraf Pasar Besar Kuantan



Penyediaan zon pasar kering perlu dimasukkan dalam cadangan naik taraf Pasar Besar Kuantan.

Pengasingan zon pasar kering dan basah dapat mewujudkan persekitaran pasar yang lebih selesa dan bersih sekali gus menggalakkan lebih ramai pengguna datang untuk mendapatkan barangan makanan dan keperluan harian.

Ahli Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Tee Choon Ser berkata, langkah itu juga bagi memastikan peniaganya mampu terus bertahan dalam berdepan persaingan dengan pasar raya, pasar tani dan sebagainya.

Menurutnya, bagaimanapun cadangan penyediaan zon pasar kering memerlukan peruntukkan yang besar kerana melibatkan proses ubahsuai yang menyeluruh.

“Sudah tiba masanya perhatian diberikan terhadap cadangan ini supaya pasar utama yang berada di lokasi strategik di tengah-tengah pusat bandar ini terus menjadi pilihan pengguna.

“Pada masa yang sama, kewujudan zon pasar kering ini juga dilihat mampu meningkatkan aspek kebersihan pasar ini,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di lokasi itu, semalam.

Beliau berkata, usaha naik taraf Pasar Besar Kuantan akan terus diperjuangkan sekiranya BN diberi mandat kali ini.

“Sebenarnya isu pasar ini bukan baru bagi saya. Sejak dilantik sebagai ahli majlis MPK pada 2015, permasalahan pasar ini pernah diusulkan dalam mesyuarat dan beberapa proses pembaikan kerosakan dilakukan.

“Kali ini kita lihat perlunya kepada satu usaha naik taraf supaya pasar yang mempunyai 574 gerai ini terus relevan dan menjadi pilihan masyarakat seiring dengan kemajuan bandar Kuantan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, semua itu masih dalam peringkat perancangan dan mampu direalisasikan sekiranya BN mendapat mandat di sini pada PRU14 nanti.

“Namun sebagai ahli majlis yang diberi amanah, permasalahan di sini akan terus diberi perhatian.

“Hari ini (semalam) saya turun membuat tinjauan dan mendapati beberapa isu perlu diberi perhatian termasuk masalah kerosakan bumbung, masalah sistem perparitan, lampu gerai dan beberapa masalah lain.

“Masalah kerosakan ini akan dipanjangkan kepada pihak MPK untuk penyelesaian segera,” katanya.

Menurutnya, beliau menerima rungutan daripada peniaga dan pengguna yang kurang selesa ekoran masalah kerosakan yang berlaku.

“Saya terima pelbagai aduan daripada peniaga dan pengguna jadi sebagai ahli majlis, saya akan ambil perhatian terhadap permasalahan ini untuk diatasi demi kebaikan semua pihak,” katanya.


0 comments:

share2