Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 31, 2018

[TEMERLOH] TUGAS PEMETIK KELAPA MUDAH DENGAN BANTUAN HAIWAN KESAYANGAN



Tugas pemetik kelapa mudah dengan bantuan haiwan kesayangannya




Langkah seorang warga emas mengambil seekor beruk dari seorang rakan ternyata membawa manfaat kerana haiwan berkenaan seolah-olah pembuka rezeki kepadanya.

Asluddin Mohd Mustaffar, 66, kini aktif mengambil upah memetik buah kelapa di daerah ini sejak bersara sebagai penjawat awam.

Bagaimanapun, kini tugasnya mencari pendapatan sampingan dipermudahkan dengan bantuan beruk termasuk seekor yang dinamakan Ajai.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia mengambil Ajai daripada seorang rakannya di Selangor.

“Sebenarnya saya baru ambil Ajai dua minggu lalu. Sebelum ini saya pernah mempunyai 37 ekor beruk sejak kecil lagi dan ada yang sudah mati dan dilepaskan ke dalam hutan.

“Saya jenis tak boleh duduk diam di rumah. Memang ada anak-anak yang membebel supaya berehat di rumah tetapi daripada duduk di rumah saya boleh dapat pendapatan sampingan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa mengambil buah kelapa di kebun milik pelanggannya di Kampung Teluk Ira, di sini, kelmarin.

Asluddin berkata, walaupun baru dua minggu bersama Ajai, keserasian itu berjaya dicapai dalam tempoh singkat.

“Ikut mood dan keserasian juga. Ajai ambil masa serasi hanya dalam tempoh sehari. Tak susah nak jaga Ajai,” katanya yang memberitahu haiwan kesayangannya itu gemarkan nasi bercampurkan kicap manis serta minum minuman 100 Plus.

Sementara itu, ditanya mengenai aktiviti memetik buah kelapa itu, Asluddin berkata, dia menghabiskan masa sehingga empat jam untuk setiap tugasan pelanggannya.

“Saya mengambil upah dengan mengenakan caj 40 sen bagi sebiji kelapa ataupun 10 biji daripada 40 biji yang dipetik.

“Setakat ini memang ada pelanggan tetap. Memang penat tapi saya dah biasa,” katanya yang tinggal di Kampung Sanggang.

Asluddin berkata, dia mendapat lesen daripada Jabatan Perhilitan untuk memelihara haiwan tersebut dan akan meneruskan usahanya itu selagi mampu.


0 comments:

share2