Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 21, 2018

[ROMPIN] SUDAH 40 CUCU BARU DAPAT LESEN



Sudah ada 40 cucu baru dapat lesen kereta



Biar pun sudah mempunyai 40 cucu dan sembilan cicit, seorang wanita warga emas tetap memberanikan diri untuk mengambil lesen kereta.

Berbekalkan doa dan semangat, selepas hampir setahun mendaftar di sebuah sekolah memandu, akhirnya Alus Mahmad, 69, berjaya memiliki lesen kereta bagi transmisi automatik.

Walaupun tidak pandai menunggang motosikal mahu pun basikal, terbukti itu bukan penghalang bagi penduduk Sungai Puteri itu untuk memandu kereta.

Menurutnya, semua itu bermula apabila salah seorang daripada 10 anaknya menawarkan sebuah kereta untuk dibeli dengan harga RM7,000 dan beliau bersetuju pada awal tahun lalu.

“Dulu susah, suami makcik kerja nelayan jadi mana la mampu. sekarang baru ada kemampuan nak pakai kereta dengan hasil pendapatan mengurut yang makcik kumpul.



Alus sedang memandu kereta yang dibeli menggunakan duitnya sendiri.


“Ikutkan suami dan anak tak bagi tapi makcik teringin betul nak belajar, makcik minta dengan ALLAH janganlah bagi rasa takut. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, hari ini.

Alus berkata, ketika ujian mengambil lesen Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertugas juga tidak yakin dan bimbang dengannya atas faktor usia.

Menurutnya, perasaan yang sama turut dirasai suaminya dan sebahagian anaknya walaupun sudah mempunyai lesen kerana mereka enggan membenarkannya memandu jauh.

“Setakat ini makcik hanya memandu dekat dan sekitar kampung. Kalau jauh misalnya ke Bandar Kuala Rompin anak tak bagi, dia (anak) yang akan pandu, ada la juga rasa kecewa bila mereka tak yakin.

“Tapi ada juga anak makcik yang bangga, katanya dengan keadaan makcik yang dah berusia tapi masih mampu ambil lesen,” katanya.


0 comments:

share2