Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 20, 2018

PEMBANTU KEDAI RUGI RM5,010



Pembantu kedai rugi RM5,010




Hasrat seorang pembantu kedai makan untuk mendapat wang pinjaman berjumlah RM10,000 terbantut apabila ditipu dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud hingga mengalami kerugian sebanyak RM5,010. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian bermula apabila mangsa yang berumur 20 tahun dan tinggal di Felda Jengka 8, Maran cuba menghubungi syarikat pinjaman wang itu untuk mendapatkan maklumat lanjut, 12 Mac lalu.

“Mangsa seorang wanita telah bercakap dengan seorang lelaki bernama Mrs Jackson berkenaan pinjaman wang sebanyak RM10,000 yang diperoleh ketika melayari laman sesawang www.jupiterjuta.com.

“Keesokan harinya, mangsa yang bersetuju untuk membuat pinjaman memasukkan wang tunai sebanyak RM850 ke akaun CIMB Bank Jerantut sebagai yuran jaminan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Modus operandi sindiket tersebut adalah memperdaya mangsa melalui tawaran pinjaman wang tidak wujud dan mendorong mangsa membuat pelbagai bayaran sehingga mencetuskan kerugian.

Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, pada 14 Mac lalu, mangsa sekali lagi memasukkan wang berjumlah RM2,160 ke dalam akaun yang sama sebagai wang pendahuluan selama enam bulan.

“Pada hari yang sama juga, mangsa memasukkan wang sebanyak RM500 ke dalam akaun yang sama melalui CIMB Click sebagai upah kepada Mrs Jackson untuk urusan pinjaman wang berkenaan.

“Manakala pada 15 Mac lalu, mangsa memindahkan wang melalui CIMB Click sebanyak RM1,500 ke dalam akaun yang sama kerana suspek mendakwa mangsa melanggar syarat syarikat berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, selepas selesai segala transaksi yang dikehendaki, suspek mula menyatakan akan memasukkan wang pinjaman kepada mangsa sebanyak RM11,350 ke dalam akaun dalam masa lima minit.

“Namun, masih lagi tidak berjaya apabila mangsa terus menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai Azman.

“Kali ini mangsa telah diarahkan oleh suspek memasukkan lagi wang sebanyak RM1,500 ke dalam akaun yang sama sebagai insurans perlindungan diri pula,” katanya.

Sementara itu, katanya, disebabkan mangsa sudah merasakan dirinya sudah ditipu syarikat pinjaman wang itu maka dia tidak memasukkan wang berkenaan dan segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek yang terbabit,” katanya.


0 comments:

share2