Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 31, 2018

[LIPIS] STESEN KERETA API DINAIK TARAF



Stesen kereta api dinaik taraf




Penduduk daerah ini menyambut baik usaha menaik taraf stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) yang terletak di Bandar Lama Lipis.

Sesen baharu KTMB berkenaan dibina di blok lokomotif lama dengan kos mencecah RM5 juta membabitkan pembinaan pelbagai kemudahan.

Antara kemudahan tersebut termasuk lobi, bilik operasi KTMB, kaunter tiket, bilik mesyuarat, kedai, kafeteria, surau, tandas, bit polis, platform, ruangan informasi, parkir dan landskap.

Projek bermula Disember 2016 itu adalah termasuk dalam projek menaik taraf landasan kereta api baharu yang mengguna pakai tren Diesel Multiple Units (DMU) dan dijadualkan siap tahun depan.

Seorang penduduk yang juga bekas kakitangan KTMB, Badra Isa Abdul Hamid, 51, berkata, projek menaik taraf stesen KTMB tersebut menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.

Menurutnya, satu masa dulu, majoriti penduduk khususnya yang tinggal di kampung tradisional bergantung kepada kemudahan kereta api untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain.

“Orang dulu kalau nak pergi ke sekolah atau ke bandar mereka akan naik kereta api, ibaratnya kereta api ni adalah pengangkutan utama kat kawasan pedalaman. Saya juga berulang-alik naik kereta api dari rumah di Kampung Bukit Betong ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku dari 1979 hingga 1983.

“Saya juga mengharapkan KTMB mewujudkan kembali perkhidmatan kereta api di stesen-stesen kecil termasuk Merapoh, Bukit Betong, Padang Tengku, Mela dan Jerantut sebagai inisiatif khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya di sini, semalam.

Seorang penduduk Kampung Bukit Betong, Mohamad Ali Musa, 62, berkata, pembinaan stesen kereta api baharu terbabit mampu memberi servis lebih baik, selesa dan pantas kepada pengguna.

“Selain itu, ia juga mampu menarik lebih ramai pengunjung khususnya pelancong luar untuk bercuti dan melawat tempat menarik di Bandar Lipis yang terkenal dengan 14 monumen sejarah tinggalan penjajah British,” katanya.


0 comments:

share2