Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 16, 2018

[KUANTAN] PURA-PURA PENGSAN DI DEPAN PENGUAT KUASA



Pura-pura pengsan di depan penguat kuasa



Taktik seorang wanita warga Myanmar yang berlakon seolah-olah pengsan, gagal memperdayakan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pahang yang melakukan pemeriksaan di bilik sewanya di Jalan Bukit Ubi.

Wanita berusia 20 tahun bertindak demikian bagi mengelak dirinya ditahan penguat kuasa.

Dia diarahkan untuk menyerahkan dokumen pengenalan dirinya serta permit kerja untuk diperiksa dalam Ops Mega 2.0 Bersepadu yang diadakan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa Imigresen Pahang, Mohd Norazam Abdullah berkata, wanita itu tiba-tiba rebah ketika pihaknya melakukan pemeriksaan.

"Bagaimanapun, selepas ditenangkan pegawai imigresen, wanita itu bangun dan mengaku tidak mempunyai sebarang pas atau permit yang sah.

"Kita menahan wanita terbabit untuk tindakan," katanya di sini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 10.15 pagi hingga 12.20 tengah hari itu, pihaknya menahan seramai 26 warga asing berusia antara 20 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mohd Norazam berkata, operasi itu melibatkan 15 anggota imigresen, 10 kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan lapan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Operasi ini dijalankan untuk membanteras kebanjiran warga asing selain mengelak premis di sekitar bandar dimonopoli warga asing.

"Kita menyasarkan majikan atau pemilik premis perniagaan yang memberi sewa kepada warga asing di sekitar Jalan Bukit Ubi, Jalan Pasar dan Centre Point," katanya.


0 comments:

share2