Tiga penuntut Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Semambu berjaya mencipta alat pemotong besi, Portable Jig Grinder.
Alat itu berupaya memotong kepingan besi dengan mudah, lurus dan pantas.
M Syamiel Shariman, 22, mereka mencuba sebanyak tiga kali dalam tempoh enam bulan untuk menghasilkan alat yang dianggap ringkas dan murah serta sesuai digunakan di bengkel besi.
Menurutnya, Portable Jig Grinder mempunyai beberapa komponen utama iaitu grinder, pengikat kepingan besi dan rangka besi yang diletakkan di atas meja bagi memberi lebih keselesaan kepada penggunanya.
“Modal RM200 diperlukan bagi menghasilkan alat terbabit mendapatkan grinder pelbagai jenama selain bagi menyediakan rangka besi dan beberapa kelengkapan lain.
“Saya yakin inovasi dihasilkan adalah yang pertama direka di negara ini khusus untuk kegunaan industri kecil dan sederhana terutama membabitkan usahawan yang menghasilkan peralatan besi seperti pintu pagar dan sebagainya,” katanya pada program Innovation, Product Launching dan Entrepreneuship (INNOPLEN) 2018 yang disempurnakan Pengarah Bahagian Dasar Jabatan Pendidikan Politeknik Dr Mohd Rashahidi Mohamood di Dewan Sri Makmur Polisas, semalam.
Hadir sama Pengarah Polisas, Norlida Abd Razak.
M Syamiel berkata, lebih menarik lagi Portable Jig Grinder juga sesuai dikendalikan golongan wanita kerana ia hanya memerlukan sebelah tangan untuk memotong kepingan besi.
Katanya, kejayaan itu diraih hasil kerjasama Nurul Amirah Nor Azmi, Ain Fatihah Fakri dan dibantu penyelia Mazlan Omar yang banyak memberi idea.
“Saya sedia berkongsi dengan syarikat yang berminat untuk mengkomersialkan Portable Jig Grinder bagi pasaran tempatan dan luar negara, saya yakin produk itu mampu diterima sekiranya diberi promosi,” kata penuntut tahun akhir itu.
Sementara itu, Norlida berkata, INNOPLEN 2018 dapat mencungkil bakat inovasi penuntut tahun akhir selain memperkasakan elemen kreativiti yang mampu memasarkan mereka apabila tamat pengajian.
“Selain itu ia juga dapat memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda yang sentiasa mendapat bimbingan daripada pensyarah,” katanya.
Sebanyak 22 produk inovasi penuntut Polisas membabitkan lima jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Perdagangan dan Jabatan Teknologi Makanan.
0 comments:
Post a Comment