Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 16, 2018

[KUANTAN] DAPAT KAKI PALSU BAHARU



Dapat kaki palsu baharu



Selepas kaki palsu terdahulu tidak dapat digunakan, kini seorang remaja yang cacat kaki kanan mampu tersenyum apabila menerima kaki palsu yang baharu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar, Muhammad Daniel Haikal Hasdi, 14, berkata, kaki palsu itu lebih selesa dan tidak lagi sakit ketika berjalan.

Menurutnya, dia yang memakai kaki palsu beberapa jam sudah mula boleh mengimbangi diri ketika berjalan tanpa perlu menggunakan tongkat.

"Kaki palsu baru ini lebih ringan ketika berjalan dan tidak terlalu panas kerana mempunyai lubang untuk udara masuk.

"Mungkin selepas beberapa minggu lagi akan lebih selesa sepanjang menggunakan kaki palsu ini," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kaki palsu jenis dDfood yang disampaikan Pengurus Syarikat Kedidi Kaki Palsu Syafiq Redzuan Abdullah di Kampung Batu Lapan Lepar, di sini,

Muhammad Daniel yang menetap di Kampung Batu Lapan Lepar turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada pemilik Syarikat Kedidi Kaki Palsu yang beroperasi di Selangor apabila bermurah hati menyumbang kaki palsu seratus peratus buatan tangan.

Sementara itu, Syafiq Redzuan berkata, ini kali pertama pihaknya menyumbangkan kaki palsu jenis dDfoot kepada golongan memerlukan tanpa mereka perlu datang ke bengkel pembuatan milik syarikat.

Katanya , kaki palsu jenis dDfoot mempunyai beberapa kelebihan berbanding beberapa jenis lain.

"Selain ringan dan mudah dipasang ia juga mempunyai lubang udara.

"Dengan kepakaran yang kami ada dalam pembuatan kaki palsu iaitu seratus peratus buatan tangan.

"Saya gembira dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi Muhammad Daniel Haikal yang sebelum ini terpaksa menggunakan tongkat bahu untuk ke sekolah," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan berita mengenai Muhammad Daniel Haikal yang dilahirkan cacat kaki kanan yang tidak dapat menggunakan kaki palsu diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disebabkan tulang kaki yang dipotong tahun lalu memanjang.

Kakinya akan luka setiap kali memakai kaki palsu di kaki kananya hingga menimbulkan pelbagai masalah.


0 comments:

share2