Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 7, 2018

[KUANTAN] BACA 50 MUKA SURAT BUKU SEHARI



Baca 50 muka surat buku sehari



Membaca 50 muka surat subjek ketika ulangkaji menjadi rutin harian pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia ( STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib yang diumumkan semalam.

Muhammad Ashraf Jemaan, 20, yang mengambil aliran kemanusiaan itu memperoleh semua A dalam empat subjek yang diambil.

Subjek tersebut adalah Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi, Pengajian Perniagaan.

“Saya akan pastikan baca 50 muka surat buku yang saya ulang kaji setiap hari.

“Saya tahu keluarga saya susah, jadi saya mahu berjaya untuk bantu ayah,”katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan STPM di SMK Abdul Rahman Talib, semalam.

Anak bongsu dari enam beradik itu berkata, kejayaan itu hadiah untuk kedua ibu bapanya, Jemaah Majid, 64 dan Norisah Mohd Hasan, 54.

Katanya, bapanya hanya bekerja sebagai pembantu kedai pembekal barangan runcit di Semambu.

“Keluarga menjadi pendorong utama untuk saya belajar bersungguh-sungguh.

“Saya mahu buktikan saya mampu berjaya dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Muhammad Ashraf tinggal di asrama bagi memudahkan dia memberi tumpuan terhadap pelajaran.

Katanya, dari segi perbelanjaan, dia menggunakan baucar buku 1 Malaysia berjumlah RM250 untuk membeli buku rujukan.

“Tak sampai hati nak minta duit dengan ayah. lagipun, kejayaan kakak keempat dan abang kelima berjaya ke universiti menguatkan lagi semangat saya,”katanya yang tinggal di Taman Tas.

Muhammad Ashraf berhasrat melanjutkan pengajian dalam hiding ekonomi di Universiti Malaya.

Sementara itu, Jemaan berkata, sebagai bapa, dia tidak pernah memaksa anak-anaknya belajar sebaliknya memberi kebebasan untuk mereka membuktikan kejayaan.

“Saya hanya berdoa kepada Allah supaya anak-anak berjaya,”katanya.


0 comments:

share2