Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 16, 2018

[JERANTUT] TIADA LAGI AMARAN KEPADA PENIAGA


Tiada lagi amaran kepada peniaga


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Jerantut telah mengeluarkan enam kompaun sepanjang tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Tahun Baharu Cina 2018 ini. 

Enam kompaun itu dikeluarkan ke atas enam peniaga di daerah ini yang gagal mempamerkan tanda harga khas ke atas barangan terkawal. 

Ketua Cawangan KPDNKK Jerantut, Mohd Faizul Salleh berkata, peniaga sepatutnya mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan terkawal yang ditetapkan sepanjang tempoh skim itu berlangsung. 

Menurutnya, kompaun terbabit dikeluarkan serta merta kepada peniaga yang melakukan kesalahan. 

“Tiada lagi amaran diberikan kepada peniaga yang ingkar dengan arahan yang telah ditetapkan.

“Sebaliknya jika mereka melakukan kesalahan, kompaun akan terus dikenakan ke atas peniaga,” katanya kepada pemberita ketika menjalankan tinjauan di Pasar Besar Jerantut, semalam. 

Hadir sama Pengerusi Persatuan Pelindung Pengguna Jerantut yang juga merupakan ahli Gerakan Pengguna Daerah, Wan Rohani Wan Mohd Hashim. 

Hasil tinjauan yang dilakukan mendapati kesemua peniaga terutamanya peniaga yang menjual barangan terkawal telah mematuhi arahan yang ditetapkan. 

Dalam pada itu, menurutnya, setiap tahun peniaga sudah sedia maklum dengan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh skim itu berlangsung. 

“Kerana mereka sudah sedia maklum akan perkara ini, sepatutnya tidak ada lagi peniaga yang melanggar peraturan. Disebabkan itu, tiada lagi amaran buat mereka yang degil,” katanya. 

Mohd Faizul berkata, skim kawalan harga itu berlangsung dari 10 Februari lalu dan akan berakhir pada 21 Februari ini. 

Dalam tempoh itu katanya, pihak KPDNKK Jerantut telah melakukan pemeriksaan menyeluruh di premis runcit dan borong di sekitar daerah ini dan Kuala Lipis. 

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pemantauan terhadap premis perniagaan di daerah ini dan Kuala Lipis sepanjang skim ini dilaksanakan. 

“Pemeriksaan dan pemantauan ini juga akan diteruskan dari masa ke semasa walaupun tempoh skim ini berakhir agar peniaga sentiasa patuhi arahan,” katanya.


0 comments:

share2