Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 17, 2018

DIGESA SIASAT ISU SERAH TANAH RM1.18B DI IJOK


Irmohizam


Shah Alam - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung isu penyerahan tanah bernilai 1.18 bilion di Ijok, Kuala Selangor.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, ia sangat penting dan jika perlu, bekukan aset-aset tersebut bagi mengekang perkara - perkara yang boleh menjejaskan siasatan.

Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali sebelum ini berhubung penyerahan tanah itu di Ijok tidak cukup jelas membuktikan ia sebagai satu penyelesaian.

Katanya, rakyat bertambah sangsi apabila kerajaan negeri menyerahkan semula tanah yang dirampas dan menjualkannya kepada syarikat awam sedangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan memihak kepada kerajaan negeri Selangor.

"Ini merupakan sesuatu yang mencurigakan. Saya menyokong tindakan beberapa NGO yang curiga dan melaporkannya kepada SPRM.

"Kita juga khuatir akan nasib rakyat Selangor yang tidak mendapat manfaat daripada tanah tersebut sekiranya dimanipulasikan pula oleh pihak-pihak tertentu, "katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, kenyataan Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu tanah ini juga wajar diambil serius memandangkan beliau amat mengetahui intipati dan kronologi perkara tersebut.

"Kerajaan negeri dan Mohamed Azmin seharusnya lebih sensitif terhadap pengurusan aset-aset yang melibatkan kepentingan rakyat.

"Isu seperti ini tidak langsung mencerminkan kerajaan negeri peduli terhadap nasib rakyat terutama peneroka tanah serta peladang dan petani tempatan di Ijok, " katanya.


0 comments:

share2