Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 5, 2018

TUN M SUDAH TUA, INSAFLAH - HADI




Kuala Lumpur – "Dia orang tua dah, biar dia insaf sendirilah". Demikian reaksi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terhadap tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang melabel beliau sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO.

Jelas Hadi, bekas Perdana Menteri itu jelas terdesak apabila menjadikan serangan peribadi sebagai taktik politiknya untuk menjatuhkan pemimpin lain, walaupun beliau sendiri mengakui bahawa tindakan tersebut sebagai sangat melampau.

"Memang melampaulah (melabel kafir dan pengkhianat). Tetapi biar dia insaf sendirilah. Dia orang tua dah.

"Dia macam orang terdesak yang sudah rapat ke dinding. Apabila rapat ke dinding, dia tak boleh nak pergi. Dia (terpaksa) rempuh dinding itu.

"Jadi tak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jangan pecahkan kepala sendiri," katanya ketika ditemui selepas pelancaran markas besar PAS bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 N20 Pengkalan Berangan di Marang, Terengganu malam tadi.

Malah, Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu turut menasihatkan Tun Dr Mahathir supaya bertaubat kerana melabel beliau sebegitu.

"Dia kena duduk sorang-sorang (bersendirian) dan fikirkan semula (apa yang dia cakap). Fikir dan kena banyak membaca. Jangan baca buku perubatan saja, buku Islam pun kena baca.

"Saya biarkan dia insaf sendiri. Mudah-mudahan dia insaf. Antara saya dan dia saya sudah maafkan. Antara dia dengan tuhan, dia kena bertaubat," katanya.

Semalam, media melaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad, melabelkan Hadi sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan UMNO sekaligus mendakwa, Hadi hanya menggunakan Islam kerana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan wajar ditentang.

Terdahulu dalam ucapannya, Hadi berkata, PAS sudah lama bersabar dengan Dr Mahathir, terutama sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, apabila kerap menentang usaha parti itu mengukuhkan landasan pentadbiran Islam.

"Apabila kita (kerajaan PAS) lulus undang-undang Islam di Kelantan, dia beri amaran sekiranya kita laksanakan undang-undang Islam, kerajaan Pusat akan bertindak.

"Kalau dulu zaman Dr Mahathir, dia hina Islam. Tutup aurat pun dia kata bukan agama suruh, tetapi adat saja. Dia tak nak kita laksanakan hukum Islam," katanya.

Berbanding dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak katanya, hasil politik matang dan sejahtera, PAS dan UMNO mampu bertemu dan bersetuju untuk membolehkan pelaksanaan beberapa hukum Islam.

"Perdana Menteri sekarang, kita boleh berbincang, kerana kita perlu kepada perubahan. Kalau zaman Mahathir, dia tak mahu fikir kita nak laksanakan Islam," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai tindakan bekas Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, keluar daripada PAS Ahad lalu, Hadi berkata: "Dia sudah lama keluar (PAS). Ibarat orang sudah mati lama, tetapi baru nak tanam."

Hadi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang ketika diminta mengulas mengenai tuduhan Dr Mahathir bahawa beliau adalah punca Tragedi Memali, berkata beliau sudah menulis buku mengenai tragedi itu dan sudah dicetak beberapa kali.

"Saya tak mahu ulang balik. Rujuk buku itu cukup," katanya


0 comments:

share2