Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 26, 2018

TDA SEIRING USAHA PELIHARA KHAZANAH ALAM PULAU TIOMAN


asd



Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) mengalu-alukan usaha The International Coral Reef Initiative (ICRI) yang mengisytiharkan 2018 sebagai International Year of the Reef (IYOR) ataupun Tahun Terumbu Karang Sedunia kali yang ketiga.

Agensi yang bertindak sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi pulau peranginan itu juga tidak mahu ketinggalan dalam memastikan khazanah alam terutama hidupan marin seperti terumbu karang dalam keadaan baik buat tatapan pelancong.

Pengurus besarnya, Khairur Rizal Ramli, berkata, Pulau Tioman adalah salah satu daripada 21 buah pulau yang telah diwartakan di bawah pentadbiran TDA sejak tahun 1997 manakala sembilan daripadanya telah diwartakan sebagai Taman Laut di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) sejak 20 Oktober 1994.

Menurutnya, pewartaan itu adalah sebagai langkah kawalan menerusi kuatkuasa undang-undang berkenaan ke atas keindahan asli di Pulau Tioman termasuk keindahan terumbu karangnya.

"Atas sebab itu, semua perancangan pembangunan di pulau ini adalah tertakluk di bawah Akta ini selain keperluan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

"Ia meliputi aspek kebenaran merancang, kelulusan pelan bangunan dan infrastruktur berkaitan yang diproses menerusi Pusat Hentian Setempat (OSC) di TDA," katanya.

Khairur Rizal berkata, syarat-syarat pembangunan yang dikenakan di kawasan Pulau Tioman berbeza dan lebih ketat jika dibandingkan dengan kawasan lain di daratan.

Katanya, ia disebabkan tertakluk kepada keperluan Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling), 2015 di bawah Aktiviti 12(b), Jadual Kedua.

Menurutnya, pembangunan di Tioman juga tertakluk kepada Rancangan Tempatan Daerah Rompin 2006 selain Rancangan Kawasan Khas (RKK) Gugusan Pulau Tioman yang bakal disediakan pada tahun ini.

"Dalam siasatan pihak TDA yang dijalankan pada Ogos tahun lalu didapati kebanyakan bangunan didirikan tidak mendapat kelulusan TDA.

"Bagi menyelesaikan masalah ini, satu tindakan pemutihan akan dijalankan dalam masa terdekat selain dikuatkuasakan syarat-syarat pembinaan bangunan atau premis yang baru hendaklah melalui OSC yang telah ditetapkan," katanya.

Menurut Khairur Rizal, keperluan ini selaras dengan kehendak Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-undang Kecil Bangunan (Pahang) 1996.

Katanya akta itu memperuntukkan semua binaan struktur bangunan perlu mendapatkan kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pelan bangunan sebelum sebarang aktiviti dijalankan.

"Kesemua aspek perundangan yang dinyatakan di atas adalah bertujuan untuk memelihara keindahan Tioman sebagai salah pulau terindah di dunia.

"Ia bukan bertujuan untuk menyekat pembangunan fizikal dan kegiatan pelancongan di Pulau Tioman namun dalam keadaan terkawal agar tidak menjejaskan alam sekitar selain memberi manfaat serta rezeki kepada penduduk," katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan perundingan dengan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) sentiasa dijalankan bagi memastikan kelestarian serta keindahan pulau ini sentiasa terpelihara.


0 comments:

share2