Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, January 26, 2018

[KUANTAN] GESA JPS SEGERA TANGANI MASALAH GANGGUAN BEKALAN AIR


Abdul Hamid Mohd Nazahar


Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Pahang digesa bertindak segera menangani masalah gangguan bekalan air di hadapi hampir seluruh warga Kuantan yang dijangka bakal berlarutan sehingga awal bulan depan.

Timbalan Ketua Umno Kuantan, Dato' Sri Abdul Hamid Mohd Nazahar berkata, pihak JPS seharusnya menggunakan peruntukan kecemasan bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan secepat mungkin bagi mengatasi masalah tersebut.

Jelasnya, kelewatan tersebut bukan sahaja membabitkan lokasi strategik seperti hospital kerajaan, klinik kesihatan, pejabat, sekolah malahan sebahagian besar kawasan perumahan membabitkan kira-kira 80,000 pengguna yang juga pemilik akaun.

"Saya sudah maklumkan perkara ini kepada pihak JPS dan Ketua Pengarah JPS, Dato' Ir Dr Md Nasir Md Noh juga sudah memberikan reaksi positif terhadap perkara ini.

"Mereka sepatutnya kena guna peruntukan kecemasan yang ada dan saya percaya pihak JPS mempunyai peruntukan itu bagi mempercepatkan usaha memperbaiki masalah benteng pecah di kawasan Pintu Air Kobat, di sini.

"Saya dimaklumkan, gangguan bekalan air dan tekanan air rendah di kebanyakan kawasan adalah berpunca daripada masalah itu dan sekarang hanya dua daripada empat pam air sahaja yang beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Soi, di sini, semalam.

Dalam majlis itu, kira-kira 300 daripada 716 pelajar sekolah yang layak telah hadir menerima bantuan tersebut dan Abdul Hamid turut meluluskan peruntukan bantuan sebanyak RM5,000 kepada pihak sekolah bagi melaksanakan program kerohanian di sekolah berkenaan.

Sementara itu, katanya, pihak JPS perlu mempercepatkan urusan penyelenggaraan memandangkan sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir, sekitar minggu kedua bulan Februari depan.

"Mereka kena selesaikan masalah (gangguan bekalan air) ini segera kerana tidak lama lagi rakan kita daripada masyarakat Tionghua nak sambut Tahun Baru.

“Memang sukar kalau perkara ini tidak diselesaikan, pada masa ini mereka nak buat persiapan untuk sambutan hari besar mereka.

“Selain itu kena juga fikir pengusaha restoran, kedai dobi dan orang ramai yang berdepan banyak masalah dalam keadaan tiada bekalan air,” katanya.

Terdahulu, masalah gangguan bekalan air membabitkan seluruh daerah Kuantan sudah dimaklumkan pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melalui satu kenyataan media, Isnin lalu.

Berdasarkan kenyataan tersebut, gangguan disebabkan kerja-kerja pembaikan kesan runtuhan pada bahagian tebing Pintu Air Kobat, di sini, sedang dilakukan sejak minggu lalu.

Gangguan tersebut dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.


0 comments:

share2