Polis menahan tiga lelaki dipercayai aktif dalam kegiatan mencuri lembu di Maran sebelum menjualnya di Terengganu, dalam sekatan jalan raya di Kampung New Zealand, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu ketiga-tiga suspek yang berumur 20an itu dikatakan sedang dalam perjalanan menghala ke Kuantan dengan keluar melalui Plaza Tol Maran sebelum terserempak dengan sekatan jalan raya oleh sekumpulan anggota polis peronda dari Bukit Aman yang mengesan pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju di susur keluar plaza tol.
Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata terkejut dengan perkara itu suspek bertindak mengundurkan kenderaan dalam usaha melarikan diri .
“Kenderaan suspek kemudian berjaya dikesan melarikan diri menghala ke Kampung New Zealand sebelum anggota polis bertindak mengejar sejauh lebih daripada lima kilometer.
“Polis memberi arahan kepada suspek supaya berhenti namun suspek enggan sebaliknya terus memecutkan kenderaan mereka menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang jambatan di kampung itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Berikutan itu polis berjaya menahan salah seorang suspek berusia 26 tahun, manakala dua lagi rakannya melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran di kampung itu.
Namun hasil operasi yang dilakukan dua lagi rakannya berjaya ditahan di Sri Jaya, Maran pada jam 1.30 petang dan 4 petang pada hari yang sama.
Polis katanya turut berjaya merampas sebilah parang dan peralatan menghisap dadah bersama satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dari but kenderaan suspek selain dua nombor pendaftaran kenderaan dipercayai palsu.
“Hasil soal siasat yang dilakukan suspek mengaku terbabit dalam 10 kes curi lembu di sekitar Felda Jengka di Maran sebelum menjual di Kuala Terengganu, malah kenderaan Suzuki Swift yang dinaiki juga kenderaan klon.
“Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis Methamphitamine dan seorang daripadanya dikehendaki Balai Polis Larkin, Johor untuk membantu siasatan satu kes dadah mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Katanya, suspek kini ditahan reman di Balai Polis Maran selama dua minggu untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 7(1) Akta bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
0 comments:
Post a Comment