
Kuantan: Tun Dr Mahathir Mohamad menerima tamparan apabila pencalonannya sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dibantah ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Mereka turut membantah pemilihan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri selepas Dr Mahathir, seperti diumumkan pada konvensyen pakatan pembangkang, Ahad lalu.
Ketua Pemuda PPBM Pahang, Raja Mohd Azlan Raja Omar, berkata beliau secara peribadi melihat Dr Mahathir tidak lagi sesuai memegang jawatan Perdana Menteri, sebaliknya memerlukan seseorang tokoh muda berkaliber.
"Pada zaman ini, saya berasakan tidak sesuai untuk beliau (Dr Mahathir) menjadi Perdana Menteri, kita perlu orang muda dan perlu ada sistem konsisten, bukannya bertukar dari Dr Mahathir kepada Anwar," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Raja Mohd Azlan berkata, ia adalah pandangan peribadinya sebagai Ketua Pemuda PPBM walaupun menyedari ada pelantikan baharu dibuat bagi menggantinya berikutan tindakannya mengkritik parti terutama di peringkat negeri.
"Saya masih Ketua Pemuda PPBM Pahang yang sah selepas pemeriksaan di Jabatan Pertubuhan Pendaftar (ROS) dan masih memegang watikah, saya tidak ada serahkan surat meletak jawatan," katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pemuda PPBM Temerloh, Sharipul Fairuz Mohd Sharip, berkata pihaknya membantah pencalonan Dr Wan Azizah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri kerana meragui dan sangsi gandingan dua pemimpin berkenaan.
Katanya, sebagai isteri kepada Anwar, sudah tentu ada perasaan sangsi pada dirinya terhadap individu yang memenjarakan suaminya pada tahun 1998 sehingga menimbulkan krisis di negara pada masa itu.
"Kita juga bantah pemilihan Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas Dr Mahathir kerana ragu dengan hubungan mereka berdasarkan sejarah mereka berdua, mencalonkan Anwar bukan sesuatu yang bijak.
"Kita tidak pasti sama ada Anwar ini mampu menjadi Perdana Menteri kerana beliau sudah keluar masuk penjara atas kesalahan dibuktikan di mahkamah, adakah kita memerlukannya sebagai Perdana Menteri lagi.
"Selain itu, PKR ini ditubuhkan untuk menjatuhkan Dr Mahathir yang dilabel sebagai diktator, kita sangsi jika diteruskan ia akan menimbulkan pelbagai masalah pada masa depan," katanya.
Sharipul Fairuz turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir melabelkan individu berkhidmat di bawahnya sebagai menteri ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun dengan pelbagai gelaran memperlekehkan.
"Kita sanjung Dr Mahathir di atas kejayaannya membangunkan negara, tetapi kejayaannya itu turut dibantu menteri yang setia dengannya (termasuk yang masih memegang jawatan sehingga kini) tetapi malangnya kini dilabel sebagai sampah oleh beliau," katanya.
0 comments:
Post a Comment