Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang mengagihkan sebanyak 800 anak itik pedaging jenis Maskobi berumur sebulan kepada 40 penduduk miskin di lima kampung kawasan Dun Inderapura.
Pengarah JPV Pahang, Dato' Dr Norlizan Mohd Noor berkata, pemberian itik kepada penduduk kampung yang diadakan adalah kali pertama diperkenalkan di negeri ini bertujuan untuk menambah sumber pendapatan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, Program Feed Good Factor@Inderapura yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang baik daripada penduduk setempat.
“Kita akan memantau projek Feed Good Factor bagi memastikan ia mencapai matlamat dan tujuan, individu yang menerima bantuan perlu membuktikan minat serta kesungguhan dalam memastikan kejayaan dapat diraih.
“Sekiranya projek ini berjaya, saya bercadang untuk meneruskan bantuan terbabit di kawasan lain yang mempunyai potensi,” katanya.
Program Feed Good Factor@Inderapura yang dirasmikan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang, Dato' Sri Shafik Fauzan Sharif di Dewan Orang Ramai Kampung Cherok Paloh, kelmarin.
Bagi Roslina Ahmad Rani, 42, walaupun tidak ada pengalaman menternak itik namun dia yakin dapat melakukan selepas mendapat tunjuk ajar daripada pegawai JPV Pahang.
Katanya, bantuan 20 itik pedaging berumur sebulan bersama lima kilogram makanan diharap menjadi langkah pertama kepada pembabitan dalam bidang ternakan di kawasan rumah.
“Sekiranya percubaan pertama menternak itik yang diberikan JPV ini menemui kejayaan saya bercadang untuk meluaskan projek dengan menambah jumlah ternakan secara berperingkat.
“Itik jenis pedaging bukan sahaja untuk di makan dagingnya tetapi boleh menghasilkan telur apabila matang, dalam masa tiga tahun setiap induk mampu menghasilkan 200 anak itik,” katanya.
Bagi Mokhtar Mohamad, 53, berkata, dia pernah menternak itik telur sebelum ini secara kecil-kecilan di kawasan rumah di Kampung Sungai Belat dan pengalaman itu akan digunakan pada projek itik pedaging kali ini.
“Saya akan pelihara itik ini di Kampung Penor, bagi memberi keselesaan kepada unggas terbabit membesar dan membiak.
“Usaha menambah jumlah ternakan akan dilakukan sekiranya projek pertama itu berjaya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment