Lebih 100 jabatan kerajaan di Pahang telah melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen mereka membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam organisasi masing-masing.
Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang, Jamaluddin Puteh berkata maklum balas positif daripada jabatan setakat ini menjadikan pihaknya optimis sasaran 100 peratus jabatan melaksanakan IBR tahun ini dapat direalisasikan.
Katanya, meskipun 2018 baharu bermula, terdapat empat jabatan telah menandatangani IBR termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang menyatakan komitmen mereka pada hari ini.
"Kami akan menghabiskan pelaksanaan IBR ke atas jabatan yang belum melakukannya kerana perkara ini juga merupakan sebahagian daripada saranan Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob," katanya.
Jamaluddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani IBR oleh Jakoa Pahang yang diwakili oleh pengarahnya, Johari Alwi dan 132 kakitangan jabatan itu.
Beliau juga memaklumkan 100 kakitangan Jakoa Pahang yang berkhidmat di luar Kuantan akan menandatangani IBR secara berperingkat dalam masa terdekat.
Selain itu, Jamaluddin juga memaklumkan SPRM akan lebih proaktif melaksanakan program kesedaran keburukan rasuah kepada masyarakat dengan kerjasama pelbagai jabatan di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
"Pelaksanaan program sebelum ini membolehkan masyarakat lebih mudah bekerjasama dengan SPRM termasuk dalam penyaluran maklumat, menunjukkan mereka lebih memahami dan boleh membezakan perbuatan rasuah atau tidak," katanya.
0 comments:
Post a Comment