Adun Lanchang bersama pelbagai pimpinan dan individu di daerah ini membuat laporan polis berkenaan satu kenyataan berbaur fitnah yang tular di Facebook mengaitkan beliau sebagai kacang lupakan kulit.
Dato' Sri Mohd Sharkar Shamsudin membuat laporan itu bersama ketua Wanita, ketua Pemuda, Puteri dan ketua cawangan serta beberapa individu terhadap seorang pemilik akaun yang didakwa menyebarkan fitnah di Facebook Komuniti Pengundi N31 Lanchang di Balai Polis Lanchang di sini kira-kira jam 11.30 pagi semalam.
Mohd Sharkar yang juga Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang berkata, fitnah yang ditujukan kepadanya adalah satu bentuk hasutan, berniat jahat dan bermotifkan politik sempit.
“Menerusi akaun yang sama, individu itu turut menyatakan saya tidak membalas jasa dan budi Abang Zul yang banyak membantu saya dalam pilihan raya yang lalu.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang ditujukan kepada saya ini dan akan berbincang dengan peguam untuk ambil tindakan saman terhadapnya.
“Sepanjang jadi wakil rakyat saya tak pernah bermusuhan dengan sesiapa dan setiap masalah diselesaikan dengan baik, saya boleh terima jika ada persoalan berkaitan peruntukan, bila lagi nak bina masjid... ini perkara biasa sebagai wakil rakyat untuk kita pantau soal pembangunan,” katanya.
Katanya, tetapi apabila mereka melampaui batasan membuat fitnah dan berniat jahat maka laporan polis perlu dibuat kerana negara ini mempunyai undang-undang.
“Saya ucapkan terima kasih dan hargai sokongan rakan-rakan yang berikan sokongan kepada saya pada hari ini dan mereka jugalah yang menasihatkan saya supaya buat laporan polis terhadap fitnah ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment