Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, January 25, 2018

DISKUSI POLITIK LOMPAT, PERDAYA RAKYAT: LIM KIT SIANG JUARA POLITIK LOMPATAN





Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan, Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim berkata, penasihat Dap, Lim Kit Siang merupakan contoh terbaik dalam isu politik lompat ini memandangkan beliau tidak pernah menjadi wakil rakyat di sesebuah kawasan lebih daripada satu penggal semenjak dari tahun 1974 lagi.

Menurut beliau, sehingga ke hari ini hampir 49 tahun bertanding di dalam pilihanraya, sudah enam kawasan parlimen yang beliau menang dan di setiap kawasan yang beliau itu, Kit Siang hanya memegang jawatan tidak lebih sepenggal dan kemudiannya melompat untuk bertanding di kawasan lain pula.

“Beliau pernah bertanding di Kota Melaka pada tahun 1974, kemudiannya melompat pula ke Petaling Jaya, kemudian kembali ke Kota Melaka semula. Selepas itu, beliau bertanding pula di Tanjung, Pulau Pinang , seterusnya ke Ipoh Timur dan terakhir di Gelang Patah. Itu tidak termasuk lagi kerusi-kerusi DUN.

“Bagi saya, penyakit suka melompat dari satu parlimen ke satu parlimen ini hanya ada pada pemimpin-pemimpin yang suka mungkir janji. Mereka akan berjanji macam-macam kepada rakyat di kawasan itu dan setelah menang, segala janji-janji itu dilupakan begitu sahaja dan mereka berpindah ke kawasan lain pula.

“Sama juga dengan pemimpin pembangkang yang lain, antara contoh yang terbaru ialah Menteri Besar Selangor sendiri, Azmin Ali. Beliau baru ini buat kenyataan untuk berikan kerusinya di Gombak kepada Dr Mahathir dan mahu bertanding di Shah Alam. Bila beliau sebut mahu bertanding kerusi di Shah Alam, maka bergaduh pula beliau dengan Khalid Samad.

“Perangai suka melompat ini memperlihatkan politik tidak matang pihak pembangkang. Bagi saya, mereka ini memperdayakan rakyat di setiap kawasan yang mereka mahu bertanding dengan pelbagai janji, namun belum sempat tunaikan janji, mereka melompat pula ke kawasan lain untuk ditandingi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel diskusi mingguan Anda Tanya Kita Jawab anjuran UMNO-Online dan Penerangan UMNO Malaysia di PWTC di sini semalam.

Tambah beliau lagi, perkara ini berlaku kerana parti-parti pembangkang seperti PKR, PPBM, dan lain-lain lagi tidak mempunyai kekuatan di akar umbi seperti mana UMNO dan parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional (BN).

“Parti pembangkang ini kekuatan mereka di akar umbi tidak sama seperti UMNO. Mereka tidak ada cawangan di peringkat akar umbi. Seperti PPBM, mereka tidak buat mesyuarat cawangan kerana tidak ada kekuatan di peringkat akar umbi. Mereka hanya bergantung kepada isu-isu nasional dan mempermainkan emosi rakyat dengan isu-isu tersebut.

“Contohnya ada satu calon PKR di Alor Setar, menang dalam pilihanraya. Poster calon pun tidak ada. Tiba-tiba menang, rakyat pun terkejut. Begitu juga Zuraidah di Ampang. Beliau hanya jual bedak sahaja tiba-tiba menang pilihanraya.

“Jadi mereka ini tidak tahu untuk mentadbir, kerana mentadbir bukan bidang mereka. Sebab itu Zuraidah hari ini pun dia pun nak lompat kawasan. Inilah penyakit pembangkang sebenarnya,” jelasnya.

Bagaimanapun hari ini kata Azrinizam lagi, dengan adanya teknologi media sosial hari ini, adalah sukar bagi pemimpin pembangkang untuk terus menipu rakyat, memandangkan rakyat boleh mengimbas kembali atau merujuk semula janji-janji pembangkang yang dijanjikan kepada rakyat ketika mahu bertanding.

“Saya yakin bahawa dalam zaman teknologi dan media sosial yang meluas hari ini, segala informasi hanya di hujung jari. Bahkan rakyat boleh mengimbau semula segala janji-janji pihak pembangkang melalui rakaman video ceramah-ceramah mereka, sama ada mereka telah menunaikan janji-janji mereka itu atau pun tidak.

“Saya yakin, rakyat hari ini lebih cerdik untuk menilai mana parti atau pemimpin yang sebenar-benarnya yang berkhidmat untuk rakyat atau pemimpin yang hanya memperdayakan rakyat untuk kepentingan politik peribadi mereka sendiri,”ujarnya.


0 comments:

share2