Seorang peniaga maut terlibat kemalangan membabitkan dua motosikal di Kampung Paya Rajin di sini, kira-kira jam 7.30 malam, kelmarin.
Dalam kejadian itu mangsa, Mohd Noor Hisham Ismail, 30, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Jerantut kerana kecederaan teruk pada badan.
Manakala penunggang sebuah lagi motosikal, Muhammad Hakimi Adnan, 19, dan pemboncengnya, Azri Daniel Abdullah, 17, cedera parah.
Muhammad Hakimi i patah paha dan tangan kanan manakala Azri Daniel patah kaki kanan di mana kedua-dua mereka di hantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazlan Hassan berkata, mangsa yang maut menunggang motosikal Yamaha LC135 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di kampung itu sebelum bertembung dengan motosikal Nitro NX5 yang ditunggang Muhammad Hakimi dan Azri Daniel dari arah bertentangan.
“Kejadian berlaku ketika hujan lebat serta keadaan jalan gelap menyebabkan kedua-dua motosikal berkenaan bertembung dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan,” katanya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa telah dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan, malam kelmarin.
Sehubungan itu, beliau berpesan kepada penunggang motosikal agar menunggang lebih berhati-hati terutama ketika musim hujan kerana jalan licin serta jarak penglihatan terhad.
Dalam pada itu, rakan Mohd Noor Hisham, Mohd Saifullah Abdul Mohin, 28, memberitahu, dia sempat berjumpa Allahyarham Mohd Noor Hisham sebelum mendapat tahu dia terlibat dalam kemalangan.
“Saya dapat tahu setelah seorang kawan maklumkan. Arwah salah seorang pemain ragbi bagi Kelab Ragbi Rainforest Jerantut dan kami sempat menyaksikan pelajar sekolah menengah berlatih di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Saujana sebelum kejadian,” katanya.
Mohd Saifullah berkata, Allahyarham sangat meminati sukan ragbi malah merupakan salah seorang pemain yang membantu kelab berkenaan muncul juara pada Kejohanan Ragbi 10 Sebelah di Universiti Malaysia Pahang tahun lalu.
“Arwah seorang yang mempunyai cita-cita tinggi untuk membangunkan sukan ragbi malah dia sentiasa beri galakan kepada rakan-rakan menyertai beberapa siri perlawanan di seluruh negara tahun ini. Arwah juga sering mengajak rakan-rakan untuk menghadiri majlis ilmu dan solat Jemaah di masjid,” katanya.
0 comments:
Post a Comment