Taman Lipur Kota yang dibangunkan kira-kira 30 tahun lalu diberi wajah baharu bagi memenuhi keperluan aktiviti riadah penduduk di kawasan berhampiran.
Ahli Majlis, Datuk Jalaluddin Mohamed Deli, berkata, penambahbaikan taman yang terletak di Bandar Muadzam Shah itu dilakukan dengan memberi penekanan kepada aspek keselamatan, keindahan dan kebersihan.
“Penambahbaikan adalah berkonsep hijau dengan penanaman pokok-pokok seperti yang diterapkan di Bandar Muadzam Shah dan bandar lain yang terdapat di daerah Rompin.
“Saya pasti selepas ini ia akan kembali menarik selepas adanya penambahan pokok dan elemen landskap hijau. Tujuan kita menceriakan taman ini adalah bersesuaian dengan kewujudannya sebagai taman awam yang menjadi tempat riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Yang Dipertua Majlis Daerah Rompin (MDR), Datuk Mohd Zulkifli Hashim pada Program Penanaman Pokok di Taman Lipur Kota, di sini, semalam.
Sebanyak 442 pokok masing-masing jenis teh kampung dan loropetalum yang dijadikan sebagai pagar di lokasi hotspot atau bahaya ditanam dalam program anjuran MDR dengan kerjasama Teras Dara Konsortium (TDK), Alam Flora dan SWCorp Muadzam Shah.
Jalaluddin berkata, penanaman pokok sebagai pagar itu mengambil kira aspek keselamatan pengguna atau pengunjung terutama kanak-kanak.
“Aspek kebersihan dan keselamatan ini amat penting dan kita harap semua pengunjung dapat mematuhi segala peraturan ketika berada di taman.
“Selain itu, bagi memastikan kebersihan terjaga, sebanyak 18 tong sampah turut disediakan di sepanjang laluan pejalan kaki,” katanya.
0 comments:
Post a Comment