Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 7, 2017

[KUANTAN] 52 PELAJAR SEKOLAH TERLIBAT DADAH


dadah


Seramai 52 pelajar sekolah menengah di seluruh Pahang terlibat dalam kesalahan berkaitan dadah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Dato' Sri Rosli Ab Rahman berkata 38 orang daripadanya terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pengedaran (lima orang), pemilikan (tujuh orang) dan kesalahan berkaitan Akta Racun 1952 (dua orang).

"Mereka berusia dalam lingkungan 15 sehingga 17 tahun dan dadah yang digunakan adalah jenis sintetik. Pengaruh rakan sebaya, rakan yang lebih dewasa dan perasaan ingin mencuba merupakan faktor utama kegiatan itu," katanya.

Rosli berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Permuafakatan antara Polis Pahang dengan Jabatan Pendidikan negeri yang diketuai Timbalannya, Dr Tajuddin Mohd Yunus di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, semalam.

Beliau menambah, pembabitan pelajar dalam kegiatan mencuri untuk tempoh Januari hingga November 2017 ialah seramai 70 orang dengan 38 orang daripadanya terlibat dengan kecurian motosikal.

"Kesalahan berkaitan kekerasan jenayah pula sebanyak 19 kes, dengan enam daripadanya ialah jenayah rogol. Walaupun mungkin dilakukan secara suka sama suka, namun ia melibatkan gadis di bawah umur," katanya.

Rosli berkata untuk tahun ini, seramai 47 pelajar meninggal dunia, 26 cedera parah dan 36 cedera ringan (akibat kemalangan jalan raya dengan majoritinya penunggang atau pembonceng motosikal.

Beliau menambah pihaknya dan jabatan pendidikan negeri juga mengenal pasti 37 sekolah di seluruh Pahang yang dikategorikan sebagai sekolah 'hot spot' dengan daerah tertinggi di Kuantan (lapan sekolah) dan Jerantut (tujuh sekolah).

Sehubungan itu, untuk mengatasi masalah ini, Rosli berkata polis dan jabatan pendidikan negeri mengambil lapan pendekatan bagi meningkatkan kesedaran pelajar akan kepentingan menjaga disiplin dan mematuhi undang-undang.

Antaranya ialah penganjuran kursus kepimpinan anjuran polis, melaksanakan program kesedaran berkaitan bahaya dadah, kesalahan trafik, buli dan ponteng sekolah.

"Kita juga akan menganjurkan program Back to School yang mana kita akan mengenal pasti pegawai polis yang berjaya dari sekolah di Pahang dan mereka akan kembali ke sekolah itu untuk memberi motivasi.

Mereka juga akan melaksanakan program kesedaran di sekolah selain meningkatkan minat pelajar untuk menjadi anggota polis. Kita juga merancang melakukan program satu sekolah satu produk untuk mengenal pasti kekuatan sekolah itu,” katanya.

Program sedemikian membolehkan pelajar menumpukan perhatian kepada bidang khusus, seperti catur yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Chat di Benta yang menghasilkan pemain catur sehingga mewakili negara," katanya.


0 comments:

share2