Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, December 5, 2017

MB JOHOR NAFI TERIMA SUAPAN


KHALED NORDIN


Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan rasuah hartanah yang dikaitkan ke atasnya.

Mohamed Khaled menegaskan, pentadbirannya tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima suapan dan menentang segala usaha untuk memberi apa jua suapan.

Katanya, beliau percaya tuduhan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk memalukan dan mencalarkan kepimpinan kerajaan negeri dan nama baik beliau secara peribadi.

"Ia adalah fitnah, tidak benar dan tidak bersangkutan dengan saya. Semasa Senai (Adun DAP, Wong Shu Qi) menimbulkan isu tersebut saya sama sekali tidak tahu akan kewujudan dokumen berkenaan.

"Saya juga tidak mempunyai cara untuk mengesahkan kebenaran dan ketulenannya. Hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja layak mengesahkannya.

"Memadai untuk saya nyatakan di sini bahawa pada tarikh-tarikh yang dirujuk dalam petikan dokumen itu, saya berada di luar negara dan tempat-tempat lain dalam pelbagai urusan dna langsung tidak berada di Pejabat Umno Negeri apatah lagi menerima suapan," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Johor Yang Ke-13 di sini, semalam.

Dalam pada Mohamed Khaled berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Shu Qi di atas tindakannya membocorkan dokumen rahsia rasmi kerajaan di dalam Dewan Negeri.

"SPRM mengesahkan bahawa dokumen itu adalah rahsia yang dibocorkan, bermakna dengan memetik kandungan dokumen tersebut Senai telah membocorkan rahsia rasmi kerajaan dalam Dewan. Dokumen itu telah ditokok tambah dari dokumen asal bermakna kandungan yang tersebar adalah tidak benar dan terpesong dari kandungan asal.

"Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Senai, beliau harus bertanggungjawab di atas tindakan keji dan tidak bermoralnya. Saya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang sengaja membuat fitnah, spekulasi atau apa-apa tindakan tidak wajar," katanya.

27 November lalu, Shu Qi dalam ucapan perbahasannya pada Persidangan Dewan Negeri mempersoalkan kesahihan beberapa dokumen dan maklumat yang dimuat naik ke laman web yang mengaitkan Mohamed Khaled menerima sejumlah wang daripada pemaju untuk mengubah status perumahan lot Bumiputera kepada lot bukan Bumiputera.


0 comments:

share2