Serian: Malaysia memohon prosedur ekstradisi terhadap suspek penyeludupan senjata api yang ditahan di Pakistan pada 22 Disember lalu, untuk dibawa pulang, seterusnya disiasat dan didakwa mengikut perundangan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah berhubung dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) bagi mendapatkan kerjasama agensi berkaitan di Pakistan berhubung perkara itu.
"INTERPOL dan Polis Pakistan secara rasminya sudah memaklumkan penahanan suspek berkenaan, malah sedia memberi kerjasama kepada kita untuk memohon ekstradisi ke atas lelaki berkenaan.
"Kita mahu memastikan suspek dibawa pulang, seterusnya disiasat dan didakwa mengikut undang-undang negara ini," katanya selepas melawat Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Tebedu, di sini petang semalam.
Ahmad Zahid turut diiringi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.
Dalam kejadian 22 Disember lalu, seorang pemuda warga Malaysia berasal dari Kuching, Sarawak ditahan ketika mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur melalui Bangkok menggunakan penerbangan Thai Airways.
Difahamkan, pemuda itu ditahan sejurus mesin pengimbas mengesan objek mencurigakan dibawa suspek sebelum hasil pemeriksaan lanjut menemui empat pistol bersama lapan kelopak peluru dan 70 peluru disembunyikan dalam ruangan rahsia pada kotak barangan dibawanya dan tapak kasut miliknya.
Kes penahanan suspek kini diambilalih oleh Perkhidmatan Risikan Pakistan (ISI) untuk siasatan lanjut, termasuk kemungkinan pemuda itu mempunyai rangkaian dengan mana-mana kumpulan pengganas, termasuk DAESH atau IS.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak, khususnya warga Malaysia yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan senjata api atau sebarang aktiviti berunsur keganasan.
"Ia termasuk perbuatan suspek cuba menyeludup keluar senjata api, seterusnya membawa ia masuk ke Malaysia melalui negara ketiga atau negara transit. Ini berhubung kait dengan isu keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Justeru, adalah penting kita membawa suspek pulang, untuk kita siasat secara lebih terperinci, dari mana suspek memperoleh senjata api itu, ke mana ia mahu dihantar dan tujuan senjata api itu mahu digunakan," katanya.
Sementara itu, sumber memberitahu BH, suspek tiba di Karachi pada 11 Disember lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang melalui Bangkok menggunakan visa pelawat yang sah bagi tempoh 15 hari.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek berkunjung ke Pakistan bagi mendapatkan bekalan senjata api dari orang perhubungannya di negara itu, dipercayai untuk diseludup masuk ke Malaysia dipercayai bagi tujuan keganasan.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dari sumber mana senjata api itu diperoleh, termasuk orang perhubungannya di negara berkenaan. Kesemua senjata api itu bersama kelopak peluru dan bekalan peluru berkenaan ditemui disembunyikan dalam ketuhar gelombang mikro dibawanya, selain tapak kasut dipakainya," katanya.
Sumber berkata, hasil semakan rekod turut mendapati suspek bukan seorang ekspatriat atau menuntut di mana institusi pengajian agama di Pakistan, sebaliknya memasuki negara itu menggunakan visa pelawat.
0 comments:
Post a Comment