Pelbagai reaksi diterima sebahagian daripada ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK St Thomas terhadap keputusan untuk menukar nama kepada ‘Mahkota Abdullah’ apabila ia dipindahkan ke bangunan sekolah yang baru.
Yang Dipertuanya, Rozaini Mohd Nor berkata terdapat segelintir ibu bapa, membantah dan sedih dengan usul perubahan nama yang ditetapkan nanti.
“Sebahagian ibu bapa ada yang tidak ada masalah dengan perubahan nama tetapi saya juga faham jauh di sudut hati mereka juga berasa sedih setelah sekian lama nama sekolah berkenaan terpahat.
“Isu ini timbul apabila mereka yang terdiri daripada alumni sekolah ini yang berasa tak puas hati kerana menganggap sekolah berkenaan sebahagian daripada kenangan dan ada nilai sejarah di dalamnya.
“Secara peribadi saya juga rasa sedikit tersentuh dengan isu perubahan nama itu memandangkan sudah bersama-sama jatuh bangun sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rozaini berkata, rasionalnya yang diberikan kepada ibu bapa dan alumni bahawa bangunan sekolah baru itu akan dibina atas sumber kewangan kerajaan dan pihak Kementerian Pendidikan wajar untuk membuat sebarang keputusan mengenai sekolah baru sekolah itu.
“Pembinaan sebuah sekolah baru untuk menempatkan pelajar sekolah rendah dan menengah St Thomas adalah perkara yang sangat tepat.
“Kami menghadapi banyak masalah sejak berkongsi kemudahan dengan SMK Sultan Abu Bakar dan begitu juga pelajar sekolah rendah yang berkongsi dengan SK Teruntum, tak ada ruang yang cukup untuk pelajar dan guru melakukan aktiviti yang sepatutnya.
“Pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar juga tidak dapat menghadiri kelas tambahan kerana pelajar tingkatan tiga, empat dan lima sepatutnya belajar di sesi pagi terpaksa bersekolah pada sebelah petang kerana di bangunan sama juga perlu beri laluan kepada pelajar tingkatan enam,” katanya.
Sementara itu, katanya, keputusan ini untuk membina sebuah bangunan baru untuk sekolah menjadi perkara lebih utama untuk difikirkan berbanding permasalahan lain.
“Apa yang penting sekarang ini adalah lokasi dan peruntukan pembinaan bangunan sudah selesai. Keluh kesah dan kekangan dihadapi pelajar dan guru St Thomas yang selama ini terpaksa bertahan selama tiga tahun hampir berakhir,” katanya.
Bagaimana pun, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Fungsi Khas Negeri Dato' Norol Azali Sulaiman berkata, nama St Thomas telah dianggap tidak sesuai lagi oleh Jabatan Pendidkan Pahang kerana sebelum ini ia adalah sekolah mubaligh dan setelah sekolah-sekolah ini dipisahkan daripada gereja, nama baru nanti akan lebih sesuai.
“Peruntukan RM56 juta sudah diperoleh untuk pembinaan bangunan sekolah baru di Kemunting di sini, yang dijangka bermula pada tahun depan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment