Nasib yang menimpa bapa kepada lima anak di Felda Bukit Goh di sini, ibarat sudah jauh ditimpa tangga apabila penyakit gout yang dihadapi sejak 10 tahun lalu bukan sahaja menyebabkan dia kini tidak mampu bergerak, malah terpaksa melalui kehidupan sukar.
Syed Mohamad Saiful Syed Anwar Pashah, 41, kini tidak mampu meneruskan urusan harian dan hilang punca pendapatan akibat penyakit dihadapinya itu semakin hari semakin teruk.
Berikutan itu, katanya, kini dia hanya mampu terbaring dan duduk di rumah sahaja memandangkan kesemua sendi buku lali, lutut, siku semakin membengkak.
“Sebelum ni penyakit saya tak menyerang macam ni, saya boleh buat kerja macam biasa. Tapi sejak sebulan lepas, beberapa anggota sendi mula bengkak dan saya tak boleh berdiri. Saya juga disahkan hidap kencing manis dan darah tinggi setahun lepas,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Bukit Goh di sini, semalam.
Turut melawat Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Mat Zahari Deraman yang menyampaikan kerusi roda yang disumbangkan Adun Sungai Lembing, Dato' Md Suhaimi Mohamad Shah.
Syed Mohamad Saiful berkata, disebabkan itu dia semakin resah memikirkan kelangsungan hidup keluarga apabila dirinya yang merupakan pencari rezeki tunggal kini sudah sebulan terlantar.
“Kalau isteri kerja pun susah juga sebab siapa nak tengok mereka," katanya.
Tambahnya, dia berharap ada pihak sudi membantu terutama membabitkan persekolahan lima anak berusia tujuh hingga 17 tahun.
Katanya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubunginya di talian 013-9471907 atau melalui akaun bank CIMB 7065492573.
Sementara itu, Mat Zahari berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memohon perumahan generasi kedua untuk keluarga tersebut.
0 comments:
Post a Comment