Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, December 8, 2017

[KUANTAN] MUIP LULUS TANAH PERKUBURAN BAHARU


Muip lulus tanah perkuburan baharu


Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) meluluskan tanah seluas kira-kira 4.04 hektar, di Taman Indera Sempurna, di sini, sebagai tanah perkuburan Islam bagi penduduk di kawasan sekitar.

Adun Pulau Manis, Dato' Khairuddin Mahmud berkata, setakat ini proses menambak tanah di kawasan berkenaan sedang dilaksanakan.

Jelasnya, dengan adanya tanah perkuburan itu jenazah kawasan berhampiran dan sekitarnya tidak lagi dikebumikan di luar kawasan sehingga menyukarkan proses pengebumian.

“Bukan sahaja kaum keluarga malah kariah yang membantu menguruskan pengebumian juga tidak perlu ke kawasan yang jauh.

“Pada peringkat awal ini kita akan tambak 0.8 hektar tanah dahulu untuk membolehkan kawasan berkenaan digunakan dengan secepat mungkin.

“Perlaksanaannya akan memudahkan lebih 3,000 penduduk di taman ini untuk melaksanakan proses pengebumian jenazah,” katanya ketika dihubungi, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, menurutnya, kerajaan sentiasa memandang berat keperluan rakyat dari semasa ke semasa.

“Ini telah membuktikan bahawa kerajaan prihatin dengan masalah rakyat terutamanya berkaitan dengan agama,” katanya.

Sementara itu, beliau menambah, sebuah dewan terbuka juga akan dibina di Taman Indera Sempurna bagi memudahkan sebarang program kemasyarakatan dilaksanakan di kawasan taman berkenaan.

“Kita sudah lihat tapak dan kini tunggu untuk melantik kontraktor... sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk membina dewan terbuka berkenaan.

“Justeru itu, dengan adanya dewan terbuka ini dapat digunakan terutamanya membabitkan aktiviti Umno di kawasan berkenaan sekali gus memudahkan mereka melakukan program bersama komuniti setempat dengan keadaan lebih selesa,” katanya.


0 comments:

share2