Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, December 7, 2017

KEPUTUSAN SOLAT DI SEKOLAH WAJAR DISOKONG


Jalani Ludin


Usaha yang dibuat Pejabat Pendidikan Kuantan untuk mewajibkan sekolah menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah wajar disokong sepenuhnya oleh mereka yang beragama Islam.

Bekas Pegawai Pendidikan Daerah Maran yang juga Pengerusi MyCare Temerloh, Jalani Ludin berkata, sembahyang berjemaah Zohor di kalangan pelajar telah dipraktikkan sejak beliau menjadi pengetua sekolah, 12 tahun lalu.

Menurutnya, membiasakan murid dengan solat berjemaah bukan sahaja untuk membantu pembinaan karekter dan jati diri mereka, tetapi juga merupakan komponen penting pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Pendidikan Islam.

"Seperti dimaklumi, matapelajaran Pendidikan Islam di dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) memberi penekanan kepada aspek ilmu, amali, amalan, penghayatan dan pembudayaan. 

"Murid bukan sahaja perlu dibimbing untuk menguasai ilmu tentang Islam tetapi murid juga perlu dibimbing melaksanakan amali pada tajuk-tajuk yang boleh diamali seperti ibadah wuduk dan solat supaya kefahaman dan amalan mereka betul," katanya.

Beliau berkata, langkah PPD Kuantan ini tidak bercanggah, malah sangat bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menyatakan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Hal ini katanya bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

"Saya yakin semua pihak prihatin dengan gejala sosial semakin parah. Umumnya masyarakat sangat bimbang dengan gejala ponteng sekolah, buli, samseng, merokok, penyalahgunaan dadah, buang bayi dan jenayah besar yang semakin meruncing dalam kalangan pelajar.

"Di samping itu, masyarakat kita dihantui dengan isu integriti seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Maka itu para pelajar perlu diasuh bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik semata-mata tetapi juga aspek jasmani, moral dan spiritual. 

"Malah para pelajar seharusnya diasuh supaya mempunyai jati diri yang tinggi, akhlak yang unggul dan sifat integriti yang mantap," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa membudayakan solat berjemaah di sekolah merupakan salah satu cara ke arah matlamat tersebut.

Malah, katanya pelaksanaan di sekolah juga sewajarnya tidak menimbulkan kejanggalan dan rasa terpinggir murid bukan Islam kerana mereka telah menerimanya dalam kehidupan bermasyarakat seharian.

"Beberapa kajian yang dijalankan di Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia telah menunjukkan korelasi positif antara masalah disiplin dengan pengabaian solat.

"Mengenai kerisauan setengah pihak, bagi saya program solat berjemaah ini tidak langsung memberi kesan kepada pelajar-pelajar bukan Islam kerana ia dilakukan selepas waktu persekolahan sebelum pelajar pulang ke rumah.

"Solat berjemaah juga telah diterima sebagai sebahagian daripada syiar serta cara hidup orang Islam dan ia tidak menimbulkan masalah dalam agenda seharian kehidupan masyarakat majmuk Malaysia," katanya.


0 comments:

share2