Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 28, 2017

[ROMPIN] VSP BAWA KEBAIKAN KEPADA MASYARAKAT


VSP bawa kebaikan kepada masyarakat


Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Daerah Rompin menyambut baik penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi melaporkan sebarang kejadian jenayah untuk tindakan pihak polis.

Ia merupakan aplikasi yang boleh digunakan melalui telefon pintar di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diselia oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).

Pengerusi KRT Kampung Gading, Che Shahrizal Che Wil, berkata, sistem itu amat baru bagi dirinya namun tidak membuang masa untuk mendaftar setelah mendapati ia sangat berguna.

Menurutnya, tambahan pula sekarang majoriti masyarakat memiliki telefon pintar dengan kemudahan internet, jadi bukanlah menjadi masalah untuk menggunakan aplikasi itu.

"Saya baru dapat tahu tentang VSP ini dalam program ini, selepas diberi penerangan dan kaedah pendaftaran, saya rasa ia amat berguna kepada keselamatan masyarakat lalu terus mendaftar.

"VSP ini memudahkan kita untuk melaporkan sebarang kejadian jenayah hanya dengan mengaktifkan aplikasi dan boleh hantar gambar atau video tentang kejadian yang dilihat," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Majlis Keselamatan Kejiranan KRT dan SRS Daerah Rompin Bersama Polis di Dewan Teluk Gading, Tanjung Gemok, semalam.

Selain saluran aduan, Che Shahrizal turut mengakui aplikasi itu boleh merapatkan lagi hubungan KRT dan SRS dengan polis serta memudahkan mereka membuat aduan jika berlaku atau melihat aktiviti jenayah dalam kampung ketika rondaan dilakukan.

Dalam pada itu, Ketua Peronda SRS Kampung Janglau, Rosli Harun, yang ditemui berkata, pada peringkat awal pelancaran aplikasi VSP beliau telah mendaftar ketika menghadiri satu program di Kuantan.

"Dah lama saya daftar cuma belum guna sebab sebulan dua ini belum ada kes, di kampung pernah ada kes pecah tabung masjid, curi sawit, lumba motor, bila ada kes saya pasti akan guna aplikasi ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Rompin, Azlinda Hariani Zaid, yang dihubungi berkata, sebagai sebuah komuniti yang berfungsi mencegah jenayah, sudah tentu aplikasi itu perlu dimanfaatkan sebagai mungkin oleh KRT dan SRS.

"Saya sendiri telah mendaftar sebagai pengguna aplikasi VSP dan melihat ia sangat bermanfaat, jadi anggota SRS serta KRT juga perlu memanfaatkannya sebaik mungkin," katanya.


0 comments:

share2