Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 17, 2017

[KUANTAN] PENYAMBUT HOTEL DIKENAKAN IKAT JAMIN RM30,000


Penyambut hotel dikenakan ikat jamin RM30,000


Seorang penyambut tetamu hotel dikenakan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas tidak mengaku bersalah atas tuduhan menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi secara haram.

Hakim Datuk Unaizah Mohd turut menetapkan tertuduh untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap hujung bulan selain sebutan semula kes itu pada 30 November ini.

Tertuduh, Arnalin Ibrahim, 23, berasal dari Tuaran, Sabah itu didakwa menjalankan rawatan pemasangan pendakap gigi tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1988 (akta 586) di sebuah premis bernombor 13, Lorong Galing, Off Jalan Haji Ahmad di sini pada jam 12. 20 tengah hari pada 9 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Subseksyen 4 (1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (akta 586) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut subperenggan 5 (1) (a) (i) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia, Nurul Khairiyah Samsudin memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin kerana tidak memberikan kerjasama sepenuhnya sebelum ini seperti kerap berpindah rumah dan sering menukar nombor telefon bimbit.

Namun Arnalin merayu pengurangan kerana pendapatannya hanya RM900 sebulan dan perlu menanggung seorang adik di Sabah manakala penjaminnya iaitu ibu mertua tidak berkemampuan serta perlu menyara dua anak.

Dalam pada itu,Nurul Khairiyah berkata, siasatan mendapati tertuduh menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi itu sejak dua tahun lalu dengan mengenakan caj sebanyak RM500 hingga RM1,00 bagi setiap pelanggan.

"Dia antara individu aktif menawarkan perkhidmatan ini di sini dan belajar menerusi Internet serta seorang 'guru" yang sedang diburu kerana turut tidak mempunyai kelulusan.

"Tertuduh mempromosikan perkhidmatannya menerusi media sosial dan ditangkap ketika memberikan perkhidmatan tersebut kepada pelanggan pada 9 September lalu," katanya lagi.

Menurutnya, tertuduh sepatutnya didakwa pada 13 Oktober lalu tetapi tidak hadir menyebabkan waran tangkap dikeluarkan dan berjaya ditahan di rumahnya di Taman Seri Inderapura kira-kira jam 7 pagi semalam untuk terus dibawa ke mahkamah bagi proses pendakwaan.


0 comments:

share2