Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 25, 2017

[TEMERLOH] BEKALAN IKAN PATIN KRITIKAL


Bekalan ikan patin kritikal


Pengeluaran ikan patin sangkar bagi daerah ini bakal berkurangan menjelang Februari tahun hadapan apabila bekalan yang ada ketika ini berada dalam kritikal.

Malah lebih memburukkan keadaan, pengusaha ikan sangkar akan mengehadkan kemasukan benih baharu ke dalam sangkar bagi mengelakkan kerugian jika berlaku banjir besar apabila tiba musim tengkujuh tidak lama lagi.

Penternak, Kamarudin Ahmad, 63, dari Kampung Bangau Tanjung di sini berkata, bekalan ikan patin sangkar ketika ini berada dalam keadaan kritikal disebabkan kadar kematian yang tinggi sehingga lebih 70 peratus bagi setiap sangkar ketika ini.


Kamarudin Ahmad


Menurutnya, masalah yang dihadapi itu bukan dialaminya seorang sebaliknya hampir kesemua penternak yang terlibat dalam ternakan ikan sangkar bagi daerah Temerloh dan kemungkinan juga bagi daerah lain.

“Kalau dulu setiap sangkar boleh hasilkan 800 hingga 900 kilogram semusim tetapi kini hanya sekitar 400 kilogram saja.

“Ini sudah tentu menyebabkan ikan yang dihasilkan berkurangan dan menyebabkan pengusaha tak mampu bekalkan bekalan yang mencukupi untuk pasaran.

“Kami tak hadapi masalah dengan cuaca tetapi ada sesetengah tempat, penternak terpaksa menghentikan sementara kemasukan benih ikan kerana bimbang berlaku banjir, ini sudah tentu akan menyebabkan pengeluaran akan lebih kritikal selepas Februari atau Mac tahun depan,” katanya ditemui di sini semalam.

Sementara itu seorang lagi penternak dari Kampung Paya Jejawi Muhamad Rustam Lebary, 36, berkata, ketika ini satu sangkar ikan patin boleh dijual dalam tempoh hanya satu hari.

Menurutnya, disebabkan ikan yang diternak semakin berkurangan, setiap sangkar ikan yang dituai akan licin dalam tempoh hanya satu hari.

“Satu sangkar 400 kilogram ikan patin boleh dijual dalam tempoh satu hari saja kerana permintaan yang tinggi selain faktor kadar kematian yang tinggi.

“Kami ternak tujuh bulan dan kami jual hanya satu hari saja, biasanya ambil masa dua atau tiga hari untuk dihabiskan tetapi sekarang dalam masa satu hari sahaja sudah habis dijual.

“Walaupun ia kedengaran bagus tetapi hasil yang dijual berkurangan, kos benih ikan dan makanan juga semakin meningkat sejak kebelakangan ini sekali gus menyebabkan margin keuntungan semakin rendah,” katanya yang mempunyai 10 sangkar.

Muhamad Rustam berkata, keadaan dijangka bertambah kritikal tahun hadapan disebabkan pengusaha menghentikan sementara kemasukan benih baharu dan jika berlaku banjir besar juga akan menyebabkan keadaan lebih parah.

Katanya, jika berlaku banjir besar, banyak sangkar ikan berisiko dihanyutkan arus selain daripada kadar kematian yang meningkat disebabkan perubahan suhu dan lain-lain masalah lagi.

“Ternakan ikan sangkar memang kelihatan mampu memberikan hasil yang lumayan tetapi risiko yang ada juga tinggi,” katanya.

Bagi Zainal Abidin Kamaruzaman, 53, berkata, selain daripada masalah itu, risiko lain yang harus diambil pengusaha ialah kecurian, serangan haiwan seperti memerang dan banyak lagi.

Zainal Abidin


Menurutnya, bekalan ikan patin yang kritikal ketika ini sudah tentu akan berlanjutan sehingga pertengahan tahun hadapan sebelum pulih seperti sedia kala.

“Kadar kematian yang tinggi ketika ini bermula sejak banjir besar 2014 dan berterusan sehingga sekarang tetapi keadaan kadang kala pulih seketika.

“Tetapi kami rasakan tahun hadapan akan menyebabkan bekalan paling kritikal, ketika ini kedai makanan yang menjual menu ikan patin memerlukan lebih satu tan ikan untuk dijual setiap bulan,” katanya.

Katanya, bagi setiap restoran yang menjual hidangan patin pada kadar biasa memerlukan kira-kira satu tan sebulan, dan jumlah itu akan meningkat bagi restoran yang lebih maju hingga tiga tan sebulan.


0 comments:

share2