Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 10, 2017

SYED SADDIQ PERLU TAMPIL SERAH MAKLUMAT - SPRM




Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Abdul Rahman perlu menyerahkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti berkenaan dakwaannya berlaku aktiviti menyogok wang supaya pemimpin PPBM meninggalkan parti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil, berkata sebagai individu yang mempunyai maklumat dengan aktiviti rasuah membabitkan pemimpin parti, Syed Saddiq bertanggungjawab untuk menyerahkan maklumat berkenaan dan tidak menyembunyikannya.

“Dalam apa keadaan pun sekiranya ada individu dia ada maklumat berhubung rasuah dan salah guna kuasa, sebaik-baiknya dia patut lapor kepada pihak wajib, dalam kes ini adalah SPRM, supaya kita boleh ambil tindakan.

“Kita dalam Malaysia tidak tahu semua benda dengan keanggotaan yang terhad. Kadang-kadang orang anggap SPRM ini seperti ‘Superman’ tahu belaka. Kita juga perlu maklumat daripada orang ramai, baru boleh ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama SPRM di Kota Damansara, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Timbalan Pengurus Besar Kanan NAFAS, Dr Hamid Sulaiman.

Seramai 310 warga NAFAS terbabit dalam majlis lafaz dan menandatangani IBR diketuai Saipolbahari.

Minggu lalu, Syed Saddiq mendedahkan beberapa bekas pemimpin PPBM termasuk Datuk Hamidah Osman dan Kamarulzaman Habiburrahman ditawar wang sogokan sehingga RM5 juta sebagai dorongan untuk keluar daripada parti.

Susulan itu, Hamidah membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat dakwaan Syed Saddiq manakala Kamarulzaman membuat laporan polis menuntut Syed Saddiq mengemukakan bukti dalam tempoh seminggu atau berdepan tindakan saman.

Shamsun Baharin berkata, Syed Saddiq akan dilindungi sebagai pemberi maklumat mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dengan syarat tidak berkongsi maklumat yang diperolehnya kepada pihak ketiga.

“Jika beliau menceritakan maklumat itu kepada pihak ketiga, haknya untuk dilindungi sebagai pemberi maklumat akan terbatal,” katanya.


0 comments:

share2