Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 5, 2017

[LIPIS] PELUANG TERBAIK PENGUSAHA IKS


Peluang terbaik pengusaha IKS


Festival Lipis mampu menjadi platform terbaik kepada usahawan tempatan mengetengahkan produk hasil industri kecil dan sederhana (IKS) dari sekitar daerah ini.

Ahli Parlimen Lipis, Dato' Abdul Rahman Mohamad berkata, karnival selama empat hari itu melibatkan lebih 50 gerai yang menjual dan mempamerkan pelbagai barangan khususnya produk makanan daripada usahawan IKS tempatan.

Menurutnya, pelbagai cara digunakan pengusaha IKS bagi melariskan produk masing-masing termasuk memberi peluang kepada pengunjung merasai produk makanan mereka.

“Penganjuran karnival ini memberi peluang kepada pengusaha IKS di daerah ini mengembangkan perniagaan mereka sekali gus membantu menjana pendapatan usahawan tempatan.

“Melalui usaha ini juga dapat membantu pelan induk kerajaan dalam memacu sosioekonomi dan membangunkan industri IKS di daerah dan negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Lipis di Dataran Orang Kaya Haji di sini kelmarin.

Hadir merasmikan majlis penutupan berkenaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Lipis berkata, karnival tersebut juga boleh menjadi pencetus minat kepada ramai bakal usahawan yang berminat menceburi bidang IKS terutama dalam kalangan belia.

Tambahnya, dengan adanya karnival itu ianya dapat mempromosikan produk kepada orang ramai terutama kepada pelancong yang datang berkunjung ke daerah ini.

“Karnival yang telah masuk tahun ke-25 itu cukup signifikan kepada penduduk di daerah Lipis kerana menyediakan pelbagai aktiviti termasuk jualan pelbagai produk, penganjuran pelbagai pertandingan, ceramah agama, sukaneka serta jemputan artis kesayangan.

“Kita harap pihak penganjur iaitu Majlis Daerah Lipis (MDL) dapat anjur karnival ini untuk tahun-tahun akan datang serta menyediakan pelbagai acara yang lebih menarik,” katanya.


0 comments:

share2