Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 4, 2017

[KUANTAN] BINA BANYAK GELANGGANG FUTSAL


Bina banyak gelanggang futsal


Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat mewujudkan satu gelanggang futsal pelbagai guna di setiap taman perumahan.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata kewujudan gelanggang futsal itu bukan hanya menaikkan semangat warga kota untuk beriadah dan mengamalkan gaya hidup sihat, tetapi boleh mengeratkan silaturahim penduduk.

“Saya mahu gelanggang futsal yang akan dibina ini bukan hanya sekadar gelanggang, tetapi dibuat dengan sebaiknya termasuk berbumbung dan lampu supaya anak muda boleh beriadah pada waktu malam.

“Ini kerana saya mendengar keluhan masyarakat yang memerlukan tempat untuk bersukan dan kementerian berhasrat mewujudkan gelanggang futsal dengan nilai RM500,000 bagi setiap taman perumahan,” katanya dalam ucapan perasmian penutup Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Malaysia KPKT 2017.

Majlis berlangsung di Dewan Jubli Perak di sini kelmarin yang turut dihadiri Menteri Besar, Dato' Sri Adnan Yaakob dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pengusaha-pengusaha Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) Datuk Azih Muda.

Sementara itu, beliau memberitahu, kementerian telah meluluskan sembilan projek membina dan menaik taraf gelanggang futsal, gelanggang serba guna dan padang bernilai RM3.8 juta di Pahang tahun ini berbanding tahun lalu, RM2.2 juta.

Dalam pada itu beliau berhasrat untuk menjadikan kejohanan sukan PBT sebagai acara tahunan ataupun dwitahunan selepas kali terakhir penganjurannya pada 1995 di Terengganu.

Menurutnya, penganjuran kembali kejohanan itu hasil cetusan ideanya selepas diberitahu banyak PBT mengadakan aktiviti sukan tahunan masing-masing, namun dipisahkan mengikut persatuan dan skim perkhidmatan.

Sebanyak 500 anggota dari PBT seluruh negara mengambil bahagian melibatkan 10 jenis sukan antaranya badminton, ping pong, tenis, futsal, bola jaring, karom, golf dan dart.

Pertandingan sukan diadakan di beberapa lokasi antaranya di Keningau Sabah, Shah Alam Selangor, Teluk Intan Perak, Kuala Terengganu Terengganu sebelum acara kemuncak di Kuantan.

Untuk edisi kali ini, Majlis Perbandaran Klang (MPK) muncul juara keseluruhan dalam kejohanan tersebut sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan piala.




0 comments:

share2