Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 10, 2017

SEMUA DAERAH DI SABAH BERISIKO JADI PUSAT GEMPA




Kota Kinabalu: Hampir semua kawasan di Sabah berdepan risiko gempa bumi dengan pusat gegaran boleh berlaku di mana-mana daerah termasuk di pedalaman dan pantai barat negeri ini.

Pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongkul, berkata tahap risiko berbeza mengikut kawasan berdasarkan keaktifan aktiviti seismik atau pergerakan dalam bumi di setiap kawasan.

"Aktiviti seismik di Sabah bukan hanya tertumpu di kawasan Ranau dan Lahad Datu seperti yang diketahui sebelum ini, tetapi sebenarnya berlaku di semua kawasan.

"Jadi sebenarnya, hampir seluruh Sabah ada risiko gempa bumi, ada yang tinggi (tahap risiko) dan ada yang rendah.

"Cuma, risiko gempa bumi di kawasan Ranau-Kundasang dan Lahad Datu-Kunak adalah lebih tinggi berbanding di tempat lain," katanya kepada BH.

Pada 31 Ogos lalu, satu gempa bumi lemah berskala 3.0 skala Richter dikesan berpusat di Sapulut, Nabawan, kira-kira 250 kilometer (km) dari sini, dipercayai kejadian gempa bumi pertama berpusat di kawasan itu.

Kejadian gempa bumi sebelum ini kebanyakannya berpusat di Ranau, Lahad Datu dan Kunak, selain Kudat.

Dr Felix berkata, gempa bumi yang berpusat di Sapulut tiada kaitan dengan gempa bumi berpusat di Ranau, Lahad Datu atau Kunak.

"Gempa bumi bermagnitud kecil ini dijangka terus berlaku di masa hadapan tetapi gegarannya tidak cukup kuat untuk merosakkan bangunan," katanya.

Selain di Sapulut, satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.9 pada skala Richter turut dikesan di Ranau, iaitu kira-kira 16 km di barat laut pekan Ranau pada 1 September lalu.

Gempa bumi di Ranau itu dipercayai antara gempa susulan akibat gempa bumi sederhana bermagnitud 5.9 berpusat di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015 yang sehingga kini menghasilkan lebih 100 gempa susulan.


0 comments:

share2