Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung di ibu negara yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru akibat perbuatan khianat sekumpulan remaja baru-baru ini sebenarnya ‘wake up call’ kepada semua pihak supaya lebih cakna dan sentiasa peduli isu-isu sekeliling.
Pengerusi Pertubuhan Kuantan Prihatin, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, dalam kes perbuatan khianat sekumpulan remaja yang bertindak nekad membakar Pusat Tahfiz Al Quran Ittifaqiah, isu utamanya ialah pengaruh dadah.
“Dalam konteks ini, remaja yang terlibat juga sebenarnya ‘mangsa’ kepada kepincangan sosial dan dadah malah tindak-tanduk mereka mencetus kebakaran ketika itu mungkin di luar fikiran waras.
“Saya lihat, masalah ini juga berlaku kerana sikap masyarakat yang tidak ambil peduli dan membiarkan golongan berkenaan terus dengan dunia hitam mereka tanpa ada usaha untuk mendekati, menegur atau ambil satu tindakan proaktif selamatkan mereka lebih awal,” katanya.
Disebabkan cara hidup remaja itu juga, mereka amat mudah menjadi mangsa dan sasaran sindiket dadah yang berleluasa.
“Jangan bersikap anak orang, anak orang sebaliknya ubah kepada anak orang, anak kita supaya sebarang salah laku yang dilihat dapat ditegur dan ada tindakan dalam mengubahnya,” katanya.
Menurutnya, sikap hanya tengok boleh membawa sesuatu keadaan itu ke satu tahap yang tidak terkawal dan akhirnya boleh mencetus bencana kepada kelompok masyarakat itu sendiri.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan kebajikan masyarakat, Pertubuhan Kuantan Prihatin juga turun menekankan isu ini biarpun tidak secara langsung namun melalui program yang dirancang, kita tidak lupakan aspek membentuk sahsiah diri remaja atau pelajar,” katanya.
Menyentuh isu keselamatan, Fakhrul Anuar berkata, aspek ini perlu ditekankan ibu bapa dan semua pihak kerana ada segelintir dalam kalangan masyarakat kurang ambil berat aspek ini.
“Pihak sekolah juga sewajarnya ambil langkah proaktif tubuhkan jawatankuasa keselamatan dalam meningkatkan aspek itu di premis masing-masing.
“Pada masa sama, pihak berkuasa perlu sentiasa memantau dan ambil tindakan terhadap isu ini supaya kelemahan yang dikesan dapat diperbaiki, supaya lebih terjamin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment