Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 24, 2017

[KUANTAN] 18 TAHUN TANGGUNG DERITA


18 tahun tanggung derita


“Saya terpaksa minum air panas yang mendidih bagi menghilangkan rasa sakit,” demikian cerita ibu tunggal beranak satu, Nor Akhzah Ghazali, 31, yang mengalami masalah buah pinggang bocor sehingga menyebabkannya hilang segala deria rasa.

Menurutnya, penyakit itu dihadapinya sejak dari lahir, namun mula menanggung kesakitan tersebut ketika berusia 13 tahun.

“Sakit tu saya tak nak bayangkan macam mana. Keadaan itu membuatkan saya minum air panas menggelegak bagi mengurangkan kesakitan.

“Sebelum ini, saya masih mampu berjalan walaupun doktor melarang dengan menasihatkan saya menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Tapi ada kalanya saya hanya mampu mengesot,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Razali di sini sempena kunjungan Exco Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dato' Shafik Fauzan Sharif, semalam.

Bukan dirinya sahaja diuji dengan masalah kesihatan, tetapi ibunya, Limah Ibrahim, 71, juga merupakan pesakit kronik sehingga terpaksa melakukan dialisis sebanyak tiga kali seminggu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Nor Akhzah memaklumkan, dalam kepayahan dia bergerak itu terpaksa memandu kereta untuk menghantar ibunya yang menderita sakit buah pinggang sejak tujuh tahun lalu.

“Saya hanya boleh memandu dan tunggu di dalam kereta kira-kira empat jam emak mencuci darah di HTAA.

“Bila orang tanya siapa jaga siapa, saya hanya tersenyum tetapi boleh dikatakan urusan rumah seperti memasak diuruskan emak walaupun sakit,” jelasnya.

Katanya, apa yang merisaukan ialah setiap kali dia dan emak serentak dirawat di hospital menyebabkan anak perempuan tunggal berusia lapan tahun terpaksa ke sekolah berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer.

“Di rumah kami hanya berempat termasuk abang yang juga tidak sihat kerana sering diserang demam panas.

“Hanya mengharapkan abang membantu menguruskan pakaian dan beberapa keperluan anak jika saya dan emak serentak masuk hospital,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Akhzah berkata, kehidupan mereka sekeluarga bergantung kepada wang pencen arwah ayahnya yang berkhidmat sebagai anggota polis.

Jelasnya, wang RM1,200 sebulan itu digunakan untuk menanggung kehidupannya bersama ibu, abangnya Mohd Saibatul Khadri, 43, dan anaknya itu.

“Dengan wang itu, saya gunakan untuk bayar bil elektrik, air dan membeli barang keperluan harian untuk kami sekeluarga,” katanya yang baru mendapat kad OKU dua bulan lalu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh hubungi Nor Akhzah 011-25567759.



0 comments:

share2