Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 29, 2017

AZMIN PERLU BERI KATA PUTUS: ZEIM ISMA




Shah Alam: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, diminta memberi kata putus berhubung isu penganjuran festival makanan dan minuman yang turut membabitkan minuman keras di Selangor.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, sebagai pemimpin negeri beragama Islam, Mohamed Azmin tidak sepatutnya berdolak-dalik dalam isu itu hanya kerana kepentingan politik.

"Kalau beliau kata jangan buat, sudah pasti semua pihak akan akur dengan keputusannya tetapi beliau sendiri berdolak-dalik tiada pendirian berhubung perkara itu.

"Saya tidak persoalkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana (menjalankan tugas) jika ada permohonan mereka keluarkan syarat dan semua maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) bernaung di bawah kerajaan negeri.

"Apa yang kita persoalkan Azmin Ali seorang Menteri Besar beragama Islam, sepatutnya melihat sensitiviti penduduk majoriti iaitu umat Islam. Jangan guna politik untuk menghalalkan semua perkara.

"Beliau kena tunjuk satu ketegasan bahawa (pesta sedemikian) tidak boleh dibuat seperti keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kenyataan tegas Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi)," katanya.

Zein Isma mendakwa sekiranya Mohamed Azmin tidak berusaha menghalangnya, ia bermakna Menteri Besar itu juga terbabit dalam penganjuran yang akan berlangsung pada 12 dan 13 Oktober depan.

"Sebagai seorang beragama Islam, sebagai menteri besar, kenyataan beliau menyerahkan kepada PBT, bermakna beliau terbabit secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dianggap mengambil mudah isu terbabit sehingga sanggup meluluskannya pesta itu selain penjualan arak yang berleluasa di negeri itu.

Pada masa sama, Zein Isma berkata, UMNO tetap membantah sekeras-kerasnya festival sedemikian dianjurkan di Selangor.

"Pesta arak itu tidak boleh diadakan di Selangor kerana bukan sahaja soal keselamatan tetapi juga untuk menjaga sensitiviti majoriti penduduk di negeri ini.

"Ini memandangkan mengikut statistik, sebanyak 57.9 peratus penduduk di Selangor beragama Islam, 3.8 peratus Kristian, 24.4 peratus Buddha, 11.6 peratus Hindu dan lain-lain anutan sebanyak 2.3 peratus," katanya.

BH hari ini memetik Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin, sebagai berkata pihaknya membenarkan penganjuran "Centro Mall German Food & Baverage Festival" pada Oktober ini selepas penganjur mematuhi syarat ditetapkan.

Sebelum ini permohonan itu pernah ditolak berikutan beberapa syarat tidak dipatuhi penganjur.

Antara syarat MPK ialah penganjur perlu mendapatkan lesen menyediakan minuman keras daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling serta pengesahan polis.

Selain itu, MPK juga mengenakan syarat utama iaitu orang Islam tidak dibenarkan menghadiri festival yang dirancang pada 12 dan 13 Oktober ini.


0 comments:

share2