Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, August 1, 2017

TN50 JADIKAN MALAYSIA BERWAJAH BARU




Kuala Lumpur - "Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan menjadikan Malaysia berwajah baharu pada 2050," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurutnya, berdasarkan perbincangan pihak kerajaan dengan pelbagai pihak mengenai TN50 setakat ini, gambaran wajah baharu negara itu, ialah kehidupan rakyat yang baik, peluang kerja yang mencukupi, pendapatan rakyat yang tinggi, kualiti hidup setaraf dengan negara maju, tiada lagi gelandangan dan negara bebas rokok.

“TN50 ini ialah hadiah pemimpin untuk generasi 2050. Jadi anak muda seharusnya mengambil peluang daripada dasar kerajaan ini untuk mencorakkan wajah baharu Malaysia mulai sekarang,” katanya dalam satu posting di laman blog beliau sskeruak.blogspot.my, semalam.

Salleh berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan TN50 sebagai visi baharu negara pada Oktober 2016, semasa membentang Bajet 2017 dengan tujuan menjadikan Malaysia berada pada kedudukan 20 tangga teratas dunia dari segi pendapatan per kapita rakyat dan sebagai negara maju dengan identiti bangsa Malaysia.

Perbincangan kerajaan mengenai TN50, katanya, telah melibatkan pelbagai sektor masyarakat seperti pelajar, pensyarah, aktivis masyarakat, penjawat awam dan ahli korporat bagi menjana idea dan buah fikiran mereka.

"’Bersama-sama kita menyumbang untuk negara. Masa depan kita bermula dari sekarang, bukannya esok. Yakinilah 2050 sudah berjalan hari ini," jelasnya.

TN50 adalah satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh 2020 hingga 2050.

Kementerian Belia dan Sukan diberi tanggungjawab mengumpulkan aspirasi TN50 daripada golongan belia sepanjang 2017, selepas pelan transformasi nasional selama 30 tahun itu diumumkan Najib.


0 comments:

share2