Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 2, 2017

POLITIK MENAKUTKAN RAKYAT TIDAK AKAN MEMBANGUNKAN NEGARA - PM




Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak percaya strategi politik yang menakut-nakutkan rakyat seperti yang dilakukan ketika era pemerintahan rejim Nazi di Jerman boleh membangunkan negara menuju ke hadapan.

Perdana Menteri berkata, sebaliknya kepemimpinan yang memberi harapan kepada rakyat termasuk mewujudkan pelbagai agenda seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) mampu menjadikan Malaysia sebagai negara terkemuka dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Katanya, misi dan visi TN50 bertujuan membentuk masa depan rakyat serta negara adalah pendekatan kerajaan untuk memastikan masyarakat dapat menikmati pembangunan yang lebih baik selain mempunyai harapan yang cerah terhadap negara.

“Saya langsung tidak percaya akan politik yang menakut-nakutkan rakyat seperti yang dilakukan oleh rejim Nazi di Jerman.

“Sebaliknya, kerajaan berusaha untuk menyediakan peluang dan ruang yang memberi harapan kepada rakyat, itulah makna pelaksanaan TN50 yang saya wujudkan baru-baru ini,” katanya pada sesi dialog Pemikiran Reka Cipta (DT), penggerak TN50 di Genovasi Malaysia (Genovasi) di Petaling Jaya, di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri di Jabaan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara itu, dalam ucapan sempena Majlis Ulang Tahun Kelima Genovasi, Najib berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai penjawat awam bagi menyertai program Duta Inovasi Pemikiran Reka Cipta (DTIA) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Untuk makluman, sejak 2012 hingga tahun ini seramai 4,000 peserta dari sektor awam dan swasta telah berjaya dilahirkan menggunakan model sekolah reka cipta Stanford dan Pemikiran Reka Cipta Institut Hasso-Plattner (HPI) iaitu pendekatan kemanusiaan yang fokus terhadap empati selain pemahaman mendalam tentang keperluan pengguna.


0 comments:

share2