Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 2, 2017

ENAM TAHUN KERAJAAN DAP PULAU PINANG TIPU RAKYAT?





Kuala Lumpur – “Saya menyokong tindakan Gerakan memfailkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng atas dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang lalu telah menjual tanah pada harga RM1 untuk sekaki persegi”

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, DAP adalah pakar putarbelit dan propaganda serta tidak teragak-agak untuk mengulangi sesuatu yang tidak benar untuk mengelirukan rakyat.

Kata beliau, satu lagi putarbelit yang tetap diulangi DAP kononnya kerajaan DAP Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga 95 peratus ekoran kempen cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) mereka.

“DAP juga berterusan mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak membantu secara kewangan Kerajaan DAP Pulau Pinang. Kedua-duanya adalah pembohongan dan perlu diperbetulkan.

“Hakikat sebenar adalah, 95 peratus pengurangan hutang Kerajaan DAP Pulau Pinang direalisasikan Kerajaan Persekutuan melalui penstrukturan perjanjian air pada 2011 di mana Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengubah hutang sedia ada Kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran RM14.56 juta setahun selama 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Abdul Rahman berkata, melalui perjanjian yang sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju untuk memberikan geran berjumlah RM1.2 bilion kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memperbesarkan empangan Mengkuang, disebalik fitnah DAP kononnya Kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang.

“Sebahagian besar dari jumlah dana itu sudahpun disalurkan,” jelasnya.

Selain itu, kata beliau, Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap negeri ditadbir pembangkang dan sudah menandatangani perjanjian penstrukturan air yang sama.

Beliau memberi contoh Selangor mendapat manfaat RM9.7 bilion dari pakej bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 2015 manakala Kelantan menerima bantuan kewangan yang serupa pada 2016.

Bagaimanapun, katanya, hanya Kerajaan Pulau Pinang sahaja yang menggunakan bantuan dari Kerajaan Persekutuan untuk berbohong kepada rakyat.

“Pada ketika negeri lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau memperdaya rakyat, hanya Kerajaan Pulau Pinang menyalahgunakan niat baik dan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk meraih nama dan memperdaya rakyat.

“Kerajaan Persekutuan akan terus mengotakan janji untuk membantu semua negeri dan tidak akan berganjak sehingga menggugat penstrukturan air di negeri-negeri,” tegas beliau.

Bagaimanapun, katanya, jika Kerajaan DAP Pulau Pinang masih mahu mendakwa ia adalah usaha mereka dalam pengurangan hutang negeri dan menuduh Kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang, mereka seharusnya meminta Kerajaan Persekutuan membatalkan perjanjian penstrukturan air 2011 agar dapat berlaku jujur kepada rakyat.

Tambah beliau, Kerajaan Pulau Pinang kemudian boleh perolehi semula hutang RM655 juta untuk ditanggung kerajaan negeri dan membayar semula geran RM1.2 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, biarpun dengan berbuat demikian hutang kerajaan Pulau Pinang tidak lagi sebagaimana didakwa turun 95 peratus dan terendah di Malaysia malah meningkat tiga kali ganda, sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang berpeluang untuk berlaku jujur kepada diri mereka sendiri.

“Atau DAP perlu berhenti membuat dakwaan terhadap pengurangan hutang negeri dan memohon maaf kepada rakyat kerana selama enam tahun mengulangi pembohongan ini,” katanya.


0 comments:

share2