Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, August 21, 2017

[MARAN] RM2 JUTA BAIKI RUMAH USANG, UZUR


RM2 juta baiki rumah usang, uzur


Lebih RM2 juta diperlukan bagi membaiki lebih 200 rumah usang lama dan uzur di sekitar kawasan Parlimen Maran.

Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Ismail Abdul Muttalib berkata, sebahagian besar rumah terbabit terletak di pinggir Sungai Pahang yang terlibat dengan banjir, kawasan luar bandar, pendalaman dan di perkampungan Orang Asli.

Menurutnya, rumah-rumah terbabit masih didiami dan perlu dibaiki supaya selesa didiami.

"Sebahagian besar rumah tersebut mengalami kerosakan pada bahagian atap, pintu, tingkap dan sebahagian dinding reput dan perlu diganti dengan atap atau kayu-kayu baharu.

"Kerajaan sememangnya menyediakan peruntukan khas bagi membaik-pulih rumah lama dan usang serta yang dilanda bencana bagi membolehkan penduduk menikmati kediaman selesa untuk keluarga.

"Pelaksanaan baik pulih rumah ini melibatkan kerja-kerja secara kontraktor dan juga terdapat secara gotong royong. Sebelum rumah terlibat dibaik pulih terdapat pegawai pejabat Parlimen Maran bersama pihak Pejabat Daerah akan membuat siasatan bagi memastikan pemohon benar-benar layak," katanya kepada pemberita di Sungai Ling, di sini.

Ismail berkata, tahun lepas lebih 80 rumah usang, lama dan yang dilanda ribut di sekitar Parlimen Maran telah dibaik pulih di bawah peruntukan khas kerajaan Pusat membabitkan peruntukan hampir RM1 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, setiap rumah diperuntukkan RM10,000 sebuah, namun ia tidak termasuk kos bagi membina rumah baharu dan yang terbabit kebakaran.

Ketua Umno Bahagian Maran itu berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKKK), Ketua Umno Bahagian dan pemimpin setempat diminta melaporkan kepada Bahagian dan wakil rakyat bagi membolehkan rumah-rumah lama, usang dan uzur milik penduduk asal kawasan mereka diperbaiki segera.

Menurutnya, BN prihatin dan mahukan semua maklumat mengenai masalah komuniti tempatan dilaporkan segera kepada wakil rakyat untuk diambil tindakan segera.

"Dalam hal ini kerajaan BN tidak pilih kasih di dalam membela rakyat, sebaliknya semua kaum diberikan pembelaan dan dibantu supaya rakyat selesa berada di bawah kerajaan yang mereka pilih pada pilihan raya," katanya.


0 comments:

share2