Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 10, 2017

[MARAN] KETUA KAMPUNG PERLU PEKA MASALAH SETEMPAT


Ketua kampung perlu peka masalah setempat


Dua penduduk Chenor di sini, menerima bantuan kilat berupa perumahan PPRT Sejahtera oleh Parlimen Maran kerana ketiadaan tempat tinggal.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato' Sri Ismail Abd Muttalib berkata, pemberian kilat tersebut dilakukan berikutan keperluan mendesak dua keluarga, iaitu suri rumah, Nurul Ain Nordin, 31, dan seorang pengawal keselamatan, Zakri Sadi, 50.

Menurutnya, tindakan penyerahan segera ini dilakukan susulan kedatangan Nurul Ain dan suaminya Rosli Abdul Ghani, 45, ke kediaman beliau, Ahad lepas.

"Dia datang ke rumah saya memaklumkan kesusahan beliau. Suaminya sekadar bekerja kampung dan mereka juga menjaga adik Nurul Ain (Adnan@Azlan Nordin, 29) yang hidap sakit buah pinggang.

"Pada petang hari sama, saya membuat lawatan ke kediaman pasangan ini dan mendapati mereka tinggal menyewa dalam keadaan yang kurang berkemampuan malah keadaan kewangan amat mendesak.

"Memandangkan beliau adalah anak tempatan Chenor, saya telah meminta pihak berkaitan menguruskan permohonan Rumah Rakyat PPRT Sejahtera untuk pasangan ini. Alhamdulillah dalam masa beberapa hari, urusan penyerahan dapat disegerakan ," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah di di kampung tersebut, petang tadi.




Dalam pada itu, beliau meminta Ketua Kampung, Penghulu serta jawatankuasa penduduk bertindak peka dengan masalah orang kampung bagi mengelakkan rakyat yang memerlukan bantuan, ketinggalan dalam memperoleh peruntukan kerajaan.

"Mereka orang susah mungkin takut atau malu nak berjumpa terus dengan saya atau pemimpin melainkan betul-betul dah terpaksa dan terdesak. Ketua Kampung dan jawatankuasa penduduklah yang perlu peka dan bertindak melaporkannya kepada Ahli Parlimen, Adun atau pemimpin setempat.

"Kita tidak mahu golongan sebegini ketinggalan terlalu jauh tanpa perhatian sewajarnya. Saya sedih apabila mengetahui ada penduduk asal sini yang tidak ada rumah. Sebab itulah saya bersama rakan-rakan turun sendiri untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku di akar umbi.

"Saya rasa bertanggungjawab kerana ini amahah saya. Selepas sini kalau boleh saya minta Jabatan Kebajikan Masyarakat turun dan lihat berapa orang uzur dan lapor ke pejabat saya. Kita ikhtiarkan. Di Maran ada dalam 49 Kampung sahaja. Buat senarai orang orang uzur di kampung-kampung. Dari segi peruntukan kita boleh cari bagaimana mahu membantu mereka ini ," katanya.

Beliau berkata, di Kampung Telok Melati ini, 20 unit rumah PPRT Sejahtera siap pada 2009 dengan kos sebuah rumah sebanyak RM30,000.

Rumah ini tidak boleh dimiliki dan diwarisi namun setelah kehidupan penduduk yang dibantu beroleh peningkatan, mereka akan menyerahkan kembali rumah tersebut untuk diserahkan kepada orang lain.

Sementara itu, beliau mengingatkan penerima bantuan hendaklah berusaha dan berikhtiar menambahkan rezeki selepas menerima bantuan perumahan.

"Selepas dah diberikan rangsangan dan dorongan, jangan berterusan mengharap bantuan pula. Tidak boleh sentiasa menadah tangan. Nabi pernah bersabda bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima.

"Kita tidak mahu kerana kemalasan, ketidaksungguhan kita dan kesusahan kerana kecuaian kita sendiri sehingga kita terpaksa meminta-minta. Kalau macam itu Gunung Tahan pun boleh runtuh," katanya.

Penerima rumah, Nurul Ain menzahirkan rasa terharu dan penghargaan di atas keprihatinan Ahli Parlimen tersebut yang bertindak segera atas keperluannya.

Nurul Aini yang mempunyai dua anak berusia 7 dan 8 tahun mula menjaga adiknya yang sakit kira-kira sebulan lalu.

"Selepas keluar ICU, adik bergantung dengan susu Nutrients Diabetic. Makan pakai tiub. Terima kasih Dato' Sri kerana berikan bantuan kerusi roda," katanya.

Seorang lagi penerima rumah, Zakri yang sebelum ini menyewa di Kampung Pesagi turut mengucapkan terima kasih atas pemberian bantuan rumah itu.

"Mudah-mudahan rumah ini memberikan keselesaan kepada saya dan anak (Nor Laila, 14) yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Al Attas Ketapang Hilir. Nor Laila tinggal dengan bekas isteri di Ketapang Tengah, dah ada rumah kalau Anak nak ziarah pun senang," katanya.


0 comments:

share2