Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, August 20, 2017

JANGAN JAHANAMKAN APA YANG TELAH DIBINA, KATA NAJIB KEPADA 'PEMIMPIN LAMA'





Pemimpin terdahulu digesa untuk menghormati dan memberi peluang kepada pemimpin seterusnya untuk menyambung perjuangan mengikut cara tersendiri.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang turut mengingatkan pemimpin lama kepada konsep ‘putaran roda’ dan memberi kepercayaan untuk kepada pemimpin sedia ada, memandangkan perjuangan berasaskan idealisme tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Sebab dalam hidup kita ada putaran roda… satu hari kita akan turun dan bila turun kita sokong pula orang naik barulah perjuangan kita kesampaian dan kepimpinan kita dapat barakah sebab orang akan menghargai (dan) menilai jasa dan legasi kita.

“Ini barulah konsep kepemimpinan… bukan bila kita tak ada jawatan kita nak jahanamkan, nak kutuk, nak lihat parti yang terlalu banyak jasa pada kita, tertiarap. Ini bukan perangai orang yang sayang UMNO…,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Langkawi hari ini yang dihadiri lebih 1,000 perwakilan.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Meskipun tidak menyebut nama pemimpin tersebut, tetapi umum mengetahui peringatan tersebut diberikan kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir kini didakwa bekerjasama dengan pembangkang sebagai usaha dalam menjatuhkan kerajaan yang dipimpin Najib.

Pelbagai usaha telah dilakukan dalam merealisasikan agenda tersebut, antaranya mewujudkan Deklarasi Rakyat.

Dr Mahathir pernah mengadap Yang Dipertua Agong (YDPA) pada September 2016 dan menyerahkan 1.2 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat bagi mendesak Najib meletak jawatan.

Namun ia ditolak Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang merupakan YDPA ketika itu, dengan alasan ia tidak mengikut perlembagaan.

Perdana menteri berkata, beliau sendiri meneruskan legasi dan perjuangan lima perdana menteri terdahulu dengan melakukan ‘tambah nilai’ kepada setiap asas perjuangan tersebut, bukannya menjahanamkan apa yang telah dibina selama ini.

“Saya masih ingat dan saya tidak mudah lupa.. saya tidak mudah lupa.. saya masih ingat seorang pemimpin itu berkata, kalau kita tiada jawatan kita perlu sokong orang baru sebab bila kita jadi pemimpin orang lain pula sokong kita, sebab itu kita berjaya,” katanya.

Namun, katanya, apa yang berlaku ketika ini adalah sebaliknya apabila pemimpin berkenaan dlihat cuba menghancurkan parti keramat UMNO yang sudah pun berusia 71 tahun itu.

“Kalau dulu lawan sekarang kawan, dulu kawan sekarang lawan… ini apa… ini bukannya prinsip moral dalam politik, ini politik kerana marah, kecewa dan lupa asas dan nilai perjuangan,” katanya.

Katanya sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana pemimpin terdahulu yang meninggalkan UMNO, akhirnya akan menyedari bahawa mereka tidak kuat tanpa parti itu, seolah-olah ada sesuatu yang hilang dalam diri mereka.


0 comments:

share2