Bahang Hari Kebangsaan bukan sahaja dilihat menerusi kibaran bendera Jalur Gemilang di sepanjang jalan utama dan rumah penduduk di sini, malah ada yang menzahirkan kreativiti dengan mengecat rumah bercorak Jalur Gemilang.
Mohd Rosli Saad, 55, mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan kerja-kerja mengecat dinding di hadapan rumahnya dengan corak bendera Malaysia itu sebagai rasa kecintaannya kepada negara.
Isterinya, Zalina Junid, 47, berkata, tidak disangka apa yang diperkatakan suaminya itu pada awal bulan lalu benar-benar menjadi kenyataan.
“Dia (suami) ada cakap, mahu cat dinding rumah ikut corak Jalur Gemilang. Biar nampak meriah dan bersemangat menyambut merdeka tahun ini.
“Dia cakap, kalau dah siap nanti boleh selfie dan masuk Sinar Harian. Itulah yang dia cakap, saya ingat dia main-main saja,” katanya.
Bagaimanapun, suaminya keluar mengambil anak saudaranya di Perak ketika kunjungan wartawan Sinar Harian ke kediaman yang turut didiami Zalina dan ditemani anak-anaknya, Muhammad Hafizi, 18; Nur Asya Amira, 16; Muhammad Amirul Amir, 11 dan Nur Umairah Azwani, 8.
Zalina berkata, suaminya menghabiskan lebih RM100 untuk membeli cat dan bendera serta bersungguh-sungguh mengecat tanpa mengira siang atau malam.
“Kalau suami tak bekerja, masanya banyak dihabiskan di hadapan rumah dan siapkan kerja-kerja mengecat ni. Saya tengok macam rumit kerjanya, bermula dengan melakar dan melukis, termasuk memastikan setiap garisan pada jalur bendera tepat ukurannya sebelum dicat.
“Tapi, kami anak beranak memang teruja dengan apa yang diusahakan suami. Kami akan kekalkan corak ini, dan akan menambah-baik kemeriahan Hari Kebangsaan pada tahun depan dengan cara yang berbeza,” katanya.
0 comments:
Post a Comment