Sebuah kebun pisang seluas tiga hektar yang hanya sekali mengeluarkan hasil sejak ditanam lebih setahun lalu musnah dalam sekelip mata selepas dipercayai diserang sekumpulan gajah.
Lebih teruk lagi apabila 460 pokok sawit yang ditanam sejak setahun enam bulan lalu hanya tinggal sebatang pokok di kebun sama yang terletak berhampiran ladang sawit milik Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP).
Pemilik kebun, Farizal Sulaiman, 31, berkata, kira-kira 25 hingga 30 ekor gajah dipercayai memasuki kebunnya sejak Jumaat lalu sehingga memusnahkan 90 peratus tanamannya selain pagar dan saluran paip air yang dibina.
“Dalam tempoh lima hari, sebanyak tiga kali kumpulan gajah liar menyerang kebun saya dan kali terakhir adalah pada malam semalam (kelmarin). Ini bermakna lebih 400 pokok sawit dan 3,000 batang pisang saya tanam selang-seli musnah.
“Hari Jumaat saya tengok adalah lebih kurang 60 pokok lagi yang tinggal. Kemudian hari Ahad mereka (gajah) datang lagi dan menyapu habis semua pokok sawit saya. Yang tinggal cuma sebatang yang sudah tidak elok,” katanya.
Farizal yang berasal dari Felda Ulu Jempul, Maran berkata, kejadian itu diketahuinya selepas dihubungi salah seorang pegawai LKPP.
“Saya juga turut dimaklumkan pekerja dan saya terus datang ke sini.
“Saya rasa sedih dan kecewa sebab sejak saya usahakan tanah ini dua tahun lalu, ini kali pertama kebun saya diserang kumpulan gajah liar” katanya.
Menurutnya, kerugian lebih RM60,000 terpaksa ditanggung apabila kira-kira 400 pokok sawit dan 3,000 batang pisang ditanam secara selang seli musnah.
“Saya anggarkan kerugian yang terpaksa ditanggung ada dalam RM65,000 dan kos ini termasuklah membina pagar, membeli anak pokok, membuat saluran paip air, meracun dan mengupah pekerja.
“Untuk membangunkan kebun ini bukanlah mudah sebab terpaksa keluarkan wang pinjaman selain dibantu ayah saya yang mengamanahkan saya untuk usahakan tanah tinggalan datuk ni,” katanya.
Farizal juga berkata, dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan kembali tanamannya yang dibangunkan melibatkan kos yang besar itu.
“Saya amat mengharapkan bantuan dari pihak berwajib dan pemimpin setempat untuk bantu saya buat tanaman semula semua sawit di kebun saya ini.
“Jika tidak diberikan bantuan dari sudut wang, sekurang-kurangnya bantulah saya dengan memberikan anak pokok, membina pagar elektrik serta apa yang telah dimusnahkan oleh kumpulan gajah liar ini,” katanya.
Dalam pada itu kelmarin, pengguna laluan Jerantut - Maran gempar apabila sekumpulan gajah liar dilihat melewati bawah jambatan Sungai Batu Pulau Tawar berhampiran Gua Kota Gelanggi, di sini.
Kemunculan kumpulan gajah liar itu mengakibatkan beberapa pengguna jalan terbabit memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk melihat sendiri gajah liar.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Ahmad Azhar Mohammed berkata, tindakan orang ramai itu meskipun tidak berbahaya kerana jarak gajah yang berada di bawah jambatan, namun ia mengakibatkan kumpulan haiwan liar yang sepatutnya dalam perjalanan kembali ke habitat asalnya berpatah balik ke kawasan kampung.
“Dalam kejadian semalam (kelmarin), laluan yang digunakan gajah liar itu sememangnya laluan mereka untuk kembali ke habitat asalnya. Namun kerana takutkan orang ramai yang melihat mereka, dua ekor gajah tertinggal dari kumpulan mengakibatkan kumpulan itu berpatah balik ke kawasan kampung.
“Ini sekali gus menyukarkan usaha kami untuk menghalau gajah itu kembali ke habitat asalnya memandangkan ia antara kaedah yang kami gunakan buat masa ini supaya mereka tidak mengganggu kawasan kampung,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Azhar berkata, Perhilitan memasang sebanyak 30 unit lampu LED berwarna biru yang menjadi teknik pertama digunakan di Pahang dan dikatakan berkesan untuk menghalau gajah.
“Ia dipasang untuk menghalau gajah dari mengganggu kawasan kampung namun kebelakangan ini kami ada terima laporan ada antara lampu LED itu hilang.
“Sekiranya ia dicuri, ia adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu tambahan pula kami terpaksa menanggung kos kehilangan meskipun lampu itu bukanlah mahal,” katanya.
0 comments:
Post a Comment